Oleh : ERDIE AB WAHID
[email protected]
KOTA KINABALU : Jabatan Muzium Negeri Sabah mempelawa orang ramai sekitar bandaraya Kota Kinabalu dan yang berhampiran untuk hadir ke Kompleks Muzium Sabah bagi menyaksikan Program Craft Exotica 2022.
Kurator Bahagian Etnologi Jabatan Muzium Sabah Mohd Asdih Pidih berkata, program yang diadakan selama 15 hari bermula 1 Julai lalu itu adalah bersempena dengan sambutan Hari Muzium Sabah yang akan berlangsung pada 15 Julai ini.
Katanya, program itu juga diadakan bagi merakyatkan warisan budaya Sabah, khususnya pembuatan kraftangan dan permainan tradisional tempatan.
“Program ini diadakan selama 15 hari bermula Jumaat lalu dimana pihak Muzium Sabah telah menjemput beberapa peserta dari pelbagai daerah untuk berkampung di sini bagi mempamerkan kemahiran kraftangan yang ada pada etnik yang terlibat.
“Antara etnik yang kami jemput adalah etnik Rungus; Dusun Lobu; Bajau Samah; Dusun Tobilung dan pelbagai etnik lain.
“Kraftangan yang turut dipamerkan pada program ini adalah antaranya seperti tudung saji; sulaman manik dalai; pinadang iaitu tali pinggang dan pelbagai jenis kraftangan lain turut dipamerkan,” katanya ketika ditemui Sabah Media di sini semalam.
Asdih berkata, objektif program itu diadakan adalah untuk mempromosi pemahaman dan menyebarkan kesedaran tentang warisan budaya tempatan khususnya seni kraftangan tradisional dan permainan tradisional yang dihasilkan oleh pelbagai kumpulan etnik.
Sehubungan itu katanya, pelbagai aktiviti akan dilaksanakan antaranya pertunjukkan pembuatan kraftangan seperti pembuatan tekstil, sulaman, bakul dan peralatan rumah; dan pertunjukkan permainan tradisi.
“Hadiah menarik juga disediakan untuk pelawat Muzium Sabah yang bertuah. Bagi aktiviti secara atas talian, rakan Facebook Muzium Sabah boleh memenangi pelbagai hadiah dengan menyertai pelbagai jenis pertandingan yang diadakan.
“Bagi penduduk berhampiran dengan Muzium Sabah, kami mempelawa anda semua untuk datang memeriahkan program ini selain mengenali kraftangan etnik yang ada di Sabah dengan lebih dekat lagi,” katanya.