HomeUtamaPeserta Tabika Kemas Zon 6 johan keseluruhan Hari Potensi Kemas Peringkat Negeri...

Peserta Tabika Kemas Zon 6 johan keseluruhan Hari Potensi Kemas Peringkat Negeri Sabah 2022

Read Time:2 Minute, 56 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Peserta kanak-kanak Tabika Kemas Zon 6 dinobatkan sebagai johan keseluruhan Program Hari Potensi Kemas Peringkat Negeri Sabah Tahun 2022.

Zon 6 merupakan wakil peserta kanak-kanak Tabika Kemas daripada Daerah Tawau, Semporna dan Lahad Datu antara enam zon yang terlibat menyertai acara sukan yang dipertandingkan bertempat di padang dan gelanggang Yayasan Sabah, Kota Kinabalu hari ini. (5 Sept)

Antara zon-zon yang terlibat selain zon 6 iaitu Zon 1 (Kudat, Kota Marudu, Kota Belud), Zon 2 (Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Putatan), Zon 3 (Papar, Beaufort, Sipitang), Zon 4 (Tenom, Ranau, Keningau, Nabawan) dan Zon 5 (Beluran, Sandakan, Kinabatangan).

Program Hari Potensi Tabika Kemas merupakan acara tahunan yang melibatkan kanak-kanak seawal usia lima dan enam tahun yang mengikuti pendidikan awal kanak-kanak di Tabika Kemas seluruh Malaysia.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Sabah telah memperuntukkan sebanyak RM99,820 bagi penganjuran program tersebut.

Pada temasya sukan kali ini, seramai 318 peserta Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas dari seluruh negeri Sabah menyertai pertandingan itu. Mereka telah bertanding di peringkat Parlimen sebelum johan setiap acara ini dan meneruskan perjuangan di peringkat Zon.

Dalam pada itu, sebanyak enam acara sukan dipertandingkan iaitu futsal, bola jaring, Rounders, Gerak Kreatif, Olahraga (Formula One dan Sprint Hurdles & Relay) dan Vortex Throwing & Forward Squat Jump.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk IR Shahelmey Yahya berkata, selaras dengan tema program hari ini iaitu ‘Sukan’, pertumbuhan kanak-kanak seharusnya dikembangkan dengan pelbagai potensi dan tidak sewajarnya terhad dalam aspek pencapaian akademik semata-mata.

“Justeru itu, tidak dinafikan, pencapaian dan kecemerlangan akademik sangat penting namun, membekalkan mereka dengan pembinaan sahsiah peribadi serta memberikan peluang kepada mereka menggilap potensi dan bakat terutama dalam sukan yang digemari amatlah digalakkan,” katanya semasa merasmikan penutupan program Hari Potensi Kemas Peringkat Negeri Sabah 2022 di Auditorium Menara Tun Mustapha, di sini hari ini.

Menurutnya, sukan juga merupakan kegiatan yang memerlukan kemahiran, ketangkasan serta tenaga, sama ada sebagai acara pertandingan, hiburan, aktiviti masa lapang ataupun untuk beriadah.

“Sukan bukan sahaja penting bagi melahirkan seorang kanak-kanak yang sihat, menguatkan otot dan tulang, tetapi juga dapat membentuk kanak-kanak menjadi seorang yang berfikiran positif, rasional, berkeyakinan tinggi dan tidak cepat berputus asa,” jelasnya.

Beliau turut mengalu-alukan penglibatan ibu bapa sekaligus menyokong program yang anjurkan itu.

“Saya merasa amat bangga dan gembira kerana pada hari ini bukan sahaja kanak-kanak Tabika yang mewakili Zon 1 hingga Zon 6 Kemas Sabah, tetapi juga para ibu bapa yang datang jauh dari seluruh pelusuk Negeri Sabah semata-mata untuk bersama-sama meraikan dan menyaksikan kehebatan anak-anak beraksi dalam acara padang mahupun acara dalam dewan sempena Hari Potensi pada kali ini”, katanya.

Shahelmey turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Pendidik Masyarakat Tabika, para ibu bapa dan ahli jawatankuasa Tabika yang telah berjaya menggilap potensi peserta kelas Tabika Kemas dengan cemerlang.

“Teruskan usaha ini, bimbing dan asuhlah anak-anak kita dengan penuh kasih sayang. Inilah anak-anak yang akan menjadi pewaris bangsa dan negara pada masa akan datang,” tambahnya.

Johan keseluruhan bagi Hari Potensi Kemas Peringkat Negeri Sabah ini akan mewakili Kemas Negeri Sabah ke Hari Potensi Kemas Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 yang akan diadakan pada 1 hingga 4 Oktober 2022 di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.

Turut diumumkan Tuan Rumah Program Hari Potensi Kemas Peringkat Negeri Sabah 2023 akan diadakan di Zon 1 iaitu Daerah Kudat.

Hadir sama pada majlis itu Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pengerusi Eksekutif ICSB Datuk Seri Ghulamhaidar Khan Bahadar dan Pengarah Kemas Negeri Sabah, Ahmad Fakhrul Mohd Radzi.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular