PAPAR: Pasukan Sukarelawan Berbasikal Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Taman Kinarut Jaya, Papar mengambil inisiatif dengan mengumpul sumbangan dalam kalangan ahli dan disumbangkan kepada Tabung Makanan Masjid Puncak Taqwa (MPT) Pekan Kinarut.
Pasukan Sukarelawan Berbasikal YADIM diketuai oleh pengerusinya Mahmud Yusof berbesar hati menyampaikan sumbangan tersebut kepada Pengerusi MPT Prof. Dr Awang Setia Musleh.
Sumbangan yang diberikan adalah berbentuk barang keperluan makanan untuk diisi ke dalam rak Tabung Makanan MPT dan akan disumbangkan kepada mereka yang memerlukan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilanjutkan ini.
Penyelaras Tabung Makanan YADIM-MPT Ustaz Nor Azhar Alimin berkata, setakat ini ramai penyumbang yang tampil mengisi rak Tabung Makanan di Masjid Puncak Taqwa Pekan Kinarut, yang terbaru dua sumbangan terbesar diperolehi dari Pasukan Sukarelawan Berbasikal YADIM dan sumbangan dari ALUMNI Sekolah Menengah Agama Limau- Limauan, Papar.
“Kami telah menyerah sumbangan-sumbangan tersebut kepada golongan yang memerlukan di sekitar daerah Papar,”kata Ustaz Nor Azhar.