Sabah Tubuh Jawatankuasa Bantu Capai Matlamat Jadikan Sandakan Sebagai Bandar Raya

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sandakan (JPEPS) bagi membantu mencapai matlamat menjadikan daerah Sandakan sebagai bandar raya kedua di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jawatankuasa itu nanti akan berperanan dalam soal merancang dan melaksanakan program pembangunan Sandakan dengan lebih bersistematik dan berdaya maju.

“Pembangunan ini akan terus dipacu oleh kluster-kluster ekonomi utama seperti pelancongan, perindustrian, perniagaan, pertanian dan pembangunan modal insan.

“Jawatankuasa ini berfungsi untuk mengumpul maklumat dan membantu kerajaan dalam perancangan pembangunan ekonomi dan pelaburan daerah selaras dengan usaha menjadikan Sandakan sebagai Majlis Bandar Raya selain mencapai objektif hala tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut di Bangunan UMNO Sabah di sini,

Mesyuarat tersebut turut dihadiri  Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam sekitar Datuk Jafry Arifin dan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Mohamad Hamsan Awang Supain.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, antara fungsi jawatankuasa tersebut adalah mengesyorkan kepada kerajaan negeri mengenai projek pembangunan yang berpotensi  bagi pertumbuhan ekonomi dan peluang-peluang pelaburan untuk dimasukkan dalam perancangan pembangunan ekonomi Sandakan.

“Daerah Sandakan mempunyai pelbagai potensi untuk dimajukan antaranya Biodiversiti yang cukup menarik untuk sektor pelancongan, perindustrian dan lain-lain selain menyediakan sistem perhubungan jalanraya, bekalan air dan elektrik yang mencukupi bagi menarik pelawat dan pelabur  untuk melabur di Sandakan.

“Jawatankuasa yang dibentuk ini turut berperanan menggalakkan dan memasarkan pembangunan  Sandakan sebagai satu lokasi perniagaan  dan pelaburan yang menarik selain turut memperkasakan daerah-daerah lain yang diluar dari kawasan Majlis Perbandaran seperti Beluran,Kinabatangan dan Tongod.

Katanya, perpindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan kelak sudah tentu memberikan kesan positif khususnya dari segi pertumbuhan ekonomi kepada Sabah khususnya daerah Sandakan.

Perpindahan itu akan menyaksikan banyak pembangunan dilaksanakan di Kalimantan termasuk pembangunan infrastruktur.

“Oleh itu kita yang berhampiran dengan mereka, sudah tentu membantu dari segi membekalkan pelbagai keperluan antaranya tenaga elektrik dan dalam masa yang sama kita dapat menyediakan  sesuatu yang boleh menarik mereka melawat ke daerah Sandakan dan ini sudah tentu  memberi impak positif dari segi pulangan ekonomi rakyat khususnya di daerah Sandakan” katanya

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *