HomeUtamaCBET giat dilaksanakan bantu sumber pendapatan kumpulan komuniti setempat

CBET giat dilaksanakan bantu sumber pendapatan kumpulan komuniti setempat

Read Time:2 Minute, 36 Second

KUNDASANG : Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sedang giat memperluaskan pelaksanaan Program Ekopelancongan Berasaskan Komuniti (CBET) bagi menyokong sumber pendapatan tambahan kepada kumpulan komuniti setempat.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Ali Biju berkata, CBET amat bermanfaat kerana dapat membantu pihak komuniti membangunkan sistem pengurusan secara bersama bagi menambah baik dan memasarkan perkhidmatan ekopelancongan berasaskan sumber asli sebagai produk ekopelancongan setempat.

Katanya, Malaysia amat kaya dengan khazanah sumber asli yang menarik, malah ada diantaranya setanding atau lebih baik jika dibandingkan dengan lokasi-lokasi lain di peringkat antarabangsa.

“Maka, melalui sumber-sumber warisan yang kita ada, kita harus teroka dan jadikan ianya sebagai produk ekopelancongan untuk kita tawarkan kepada pengunjung. Di sinilah peranan penting yang perlu dimainkan sebagai seorang Geoguide dalam menyampaikan maklumat saintifik dalam bahasa yang mudah difahami kepada pengunjung.

“Bagi menyokong aktiviti geopelancongan di Kinabalu Geopark, KeTSA melalui Program Reskill Upskill Latihan Ekopelancongan Sumber Asli telah melaksanakan tiga kursus asas dan satu kursus lanjutan Geoguide di negeri Sabah.

“Ianya melibatkan tiga daerah utama iaitu Kota Belud, Kota Marudu dan Ranau. Kursus-kursus ini telah memperlihatkan kejayaannya melalui impak yang positif serta sambutan yang amat baik di kalangan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Kursus Asas dan Lanjutan Jurupandu Geopark di bawah Program Reskill Upskill Latihan Ekopelancongan Sumber Asli di sini semalam.

Ali berkata, KeTSA melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) juga akan terus membantu pihak Kerajaan Negeri dalam pembangunan Kinabalu Geopark dari sudut saintifik, teknikal dan program kesedaran yang berterusan bersama masyarakat.

Katanya, KeTSA juga telah memperuntukan sejumlah RM670,000 bagi memperkasakan sektor ekopelancongan sumber asli di Kinabalu Geopark melalui pelaksanaan dua inisiatif utama Kerajaan.

“Antaranya adalah melalui pelaksanaan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi atau PEMERKASA bagi menaiktaraf lokasi-lokasi ekopelancongan sumber asli di sekitar kawasan Kinabalu Geopark.

“Antara projek yang dilaksanakan adalah menaiktaraf galeri Kinabalu Geopark, penyediaan panel interpretasi di samping menambahbaik pelbagai kemudahan dan fasiliti  pengunjung di geotapak-geotapak penting yang terdapat dalam kawasan Kinabalu Geopark.

“Selain itu adalah pelaksanaan Program Reskill & Upskill Latihan Ekopelancongan Sumber Asli melibatkan penganjuran kursus-kursus berkaitan ekopelancongan seperti Kursus Asas dan Lanjutan Jurupandu Geopark bagi meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan dan menyokong pembangunan ekonomi komuniti setempat,” katanya.

Kinabalu Geopark Kebangsaan telahpun dicalonkan ke peringkat antarabangsa melalui UNESCO Global Geopark yang berpusat di Paris sebagai Kinabalu UNESCO Global Geopark, di mana proses penilaian telah dilaksanakan pada 18 hingga 21 Julai 2022.

“Saya amat berharap agar Kinabalu Geopark akan dapat mencipta sejarah dan mengikuti jejak langkah Langkawi UNESCO Global Geopark sebagai Global Geopark yang ke dua di Malaysia, selepas keputusan penilaian tersebut dikeluarkan nanti.

“Dengan termeterai pengiktirafan Kinabalu UNESCO Global Geopark kelak, sudah semestinya akan memberikan lebih banyak limpahan faedah kepada komuniti setempat, khususnya para Geoguide yang akan terkesan dengan peningkatan jumlah pelancong dari dalam dan luar negara.

“Di sinilah kemahiran setiap peserta Jurupandu Geopark perlu dimainkan dengan sebaik-baiknya bagi mempromosikan keistimewaan geotapak-geotapak yang dimiliki oleh negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap agar kerjasama yang erat antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan serta Pemegang Taruh dapat diperkukuhkan dari semasa ke semasa demi menjayakan wawasan pembangunan Kinabalu Geopark secara mampan dan berterusan pada masa hadapan.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki dikhuatiri hilang di sungai semasa menjalankan aktiviti menangkap ikan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular