HomeUtamaPertemuan Penulis Khat Islam Antarabangsa bakal diadakan di Kundasang

Pertemuan Penulis Khat Islam Antarabangsa bakal diadakan di Kundasang

Read Time:2 Minute, 7 Second

SANDAKAN : Pertemuan Penulis Khat Islam Antarabangsa yang menghimpunkan para karyawan Seni khat Islam sedunia bakal diadakan di Kundasang November depan.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ia termasuklah karyawan dari Timur Tengah dalam usaha mengangkat martabat seni khat Islam.

“Hasil usaha berterusan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) dan Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), kita telah berjaya melaksanakan pertandingan khat di peringkat kebangsaan, Asean, Borneo dan nusantara untuk memartabatkan seni khat Islam.

“Ke arah itu juga, kita akan pastikan Galeri Perpustakaan Islam Sabah kelak akan dipenuhi dengan hasil karya seni khat yang bermutu tinggi untuk dipamerkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bengkel Seni Khat Islami sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1444H/2022M di Dewan Masyarakat Sandakan di sini hari ini.

Mohd Arifin berkata, pihaknya berharap para penggiat khat dan guru-guru khat akan bersama-sama dalam pertemuan itu kelak sebagai pendorong dan peransang semangat penggiat di negeri ini dan negara luar.

Katanya, penganjuran program itu juga merupakan salah satu usaha menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan kebudayaan serta kesusasteraan Islam.

“Kita akan mengundang para karyawan khat Islam terkenal dari Mesir, Turki dan sebagainya untuk bermukim di Sabah.

“Tujuannya adalah untuk menjadikan Sabah sebagai satu lagi dataran kesenian Islam khat selepas kita berjaya lebih 10 tahun menganjurkan pertandingan khat di pelbagai peringkat.

“Kedua, untuk menarik minat pelancong menerusi seni dan kebudayaan tamadun Islam khususnya khat, sastera dan bahasa,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jheains, Mohammad Sidik Awang Adi yang juga Pengerusi Penganjur bengkel berkenaan memaklumkan, penganjuran bengkel sehari itu adalah melibatkan persatuan, jabatan serta agensi kerajaan, sekolah dan institusi pendidikan untuk memperkasa seni khat Islami di Sabah.

“Seni khat ini dikembangkan melalui pertandingan sepanduk dan bengkel seni khat yang dikongsi secara bersama oleh penulis-penulis dari luar negara.

“Objektif penganjuran adalah untuk memberi pendedahan secara konsisten dan berterusan tentang seni khat Islami kepada masyarakat, menggalakkan masyarakat Sabah supaya terlibat secara aktif dalam seni khat dan melahirkan generasi yang mendominasi disiplin ilmu Islami khususnya seni khat,” katanya.

Antara peserta bengkel adalah Persatuan Seni Khat Negeri Sabah, Perkips Hospital Duchess of Kent Sandakan, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Imigresen Sandakan, Kolej Vokasional, Kolej Tingkatan 6 Pangeran Galpam Sandakan, KAFA Kinabatangan, SMKA Tun Juhar, SMA Nurudin, SMK Chung Hwa, SM Integrasi Darul Hassan, SMK Sandakan 2, SMK Merpati, SMK Elopura 2, SMK Elopura Bestari, SMK Taman Fajar, SM Sung Siew, SMA Negeri Tanjung Papat, SMA Ulu Dusun, SR Sungai Padang, SR Integrasi Tahfiz Al Baghdadi, Madrasah Riadhussholihin, Mahad Tahfiz Al Quran Wasunnah dan SK Batu Putih Baru.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki dikhuatiri hilang di sungai semasa menjalankan aktiviti menangkap ikan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular