HomeUtamaPencari kerja disaran manfaat sepenuhnya portal pekerjaan

Pencari kerja disaran manfaat sepenuhnya portal pekerjaan

Read Time:2 Minute, 53 Second

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah khususnya para belia dan pencari kerja disaran memanfaatkan sepenuhnya portal pekerjaan yang disediakan oleh jabatan dan agensi kerajaan untuk mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan menyediakan portal pekerjaan seperti Sabah Jobs Portal (SJP) dan MYFutureJobs merupakan platform bagi pencarian pekerjaan setempat dan pengiklanan kekosongan jawatan secara percuma kepada majikan dan pencari kerja dalam sektor swasta.

Beliau berkata, setakat 27 September 2022, sejumlah 5,491 pencari kerja dan 233 majikan yang menawarkan 365 kekosongan jawatan telah mendaftar dengan Sabah Jobs Portal.

“Dengan pewujudan Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs dan Sabah Jobs Portal mampu melakukan padanan pekerjaan dan perkhidmatan kerjaya lain, selain menawarkan inisiatif-inisiatif Kerajaan. Berdasarkan data PERKESO, sejak Januari sehingga 16 September 2022, jumlah kehilangan pekerjaan adalah seramai 1,013, manakala yang telah diberikan penempatan pekerjaan adalah seramai 10,971.

“Justeru para belia dan pencari kerja disarankan untuk mendaftar dalam Sabah Jobs Portal. Saya mahu lebih ramai lagi golongan belia atau lepasan sekolah menggunakan portal ini untuk mencari pekerjaan”, katanya ketika merasmikan Karnival Kerjaya Perdana Sabah Maju Jaya Tahun 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Karnival Kerjaya Perdana itu dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) dan agensinya, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dengan lebih 1,500 peluang pekerjaan ditawarkan oleh lebih 20 majikan daripada pelbagai sektor.

Hajiji berkata, sejak negara memasuki fasa peralihan ke endemik, ekonomi negara telah beransur pulih sehingga kadar pengangguran menurun pada kadar 3.9 peratus pada April tahun ini, dengan bilangan penduduk bekerja direkodkan seramai 15.85 juta orang sehingga Julai 2022 di seluruh Malaysia.

Menurutnya, berdasarkan Statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia, kadar pengangguran bagi negeri Sabah sehingga Mei 2022 ialah sebanyak 9.1 peratus.

“Penularan pandemik COVID-19 telah menjejaskan sektor pekerjaan sehingga menyebabkan banyak industri ditutup sekali gus menyebabkan kadar pengangguran meningkat termasuk mereka yang diberhentikan kerja atau dibuang kerja.

“Justeru, bagi menyahut cabaran yang dihadapi, kerajaan mengambil pelbagai inisiatif termasuk penganjuran karnival kerjaya sebagai medium menghubungkan pencari kerja dengan majikan,” jelasnya.

Menurutnya, karnival kerjaya adalah platform untuk memberi pendedahan kepada golongan belia tentang peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh industri pekerjaan swasta dalam pelbagai bidang pekerjaan.

“Usaha yang dijalankan oleh JPSM setakat ini telah menganjurkan sebanyak enam siri Karnival Kerjaya sepanjang tahun 2022 dengan sebanyak 1,282 telah mendapat pekerjaan daripada 3,109 pemohon dengan sebanyak 14,654 jumlah jawatan ditawarkan.

“Inisiatif yang dilakukan oleh PERKESO menerusi program Jamin Kerja-Insentif Penggajian (JKIP) dapat memangkinkan penciptaan peluang pekerjaan dan pengambilan pekerja sepanjang tahun ini. Sehingga 18 Julai tahun ini, Program JKIP dan perkhidmatan pekerjaan MYFutureJobs telah membantu menyediakan jaminan pekerjaan kepada kira-kira 113,672 ahli Keluarga Malaysia,”ujarnya.

Hajiji turut berkata, dalam usaha merapatkan jurang penawaran dengan permintaan pekerjaan oleh majikan dan pekerja, sebuah Pangkalan Data perlu dibangunkan dengan mempergiat usaha pelaksanaan program outreach pemprofilan pencari kerja di seluruh
negara.

Justeru beliau menyeru kepada seluruh rakyat Sabah untuk merebut segala inisiatif dan insentif yang ditawarkan, selain untuk menambah baik kehidupan juga berganding bahu memulih dan memperkukuhkan semula ekonomi negara. Majikan juga diminta supaya menyediakan peluang kerja dan insentif terbaik untuk pencari kerja.

Katanya, kerajaan amat prihatin terhadap keluhan rakyat dan sentiasa mencari kaedah yang terbaik bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka termasuk berkaitan pengangguran dan kehilangan pekerjaan.

“Oleh itu bagi memastikan perkara ini dapat ditangani dengan efektif, pelbagai inisiatif berkonsepkan pekerjaan dan kerjaya telah dilaksanakan untuk membantu mereka yang benar-benar terkesan dan memerlukan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki dikhuatiri hilang di sungai semasa menjalankan aktiviti menangkap ikan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular