SANDAKAN : Presiden Persatuan Muslim Cina Malaysia (MACMA) Profesor Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin dan bekas Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Maimunah Suhaibul dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul sempena sambutan Maulidur Rasul SAW 1444H/2022M peringkat negeri Sabah.
Anugerah masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita itu disampaikan Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Dewan Masyarakat Sandakan di sini pagi tadi.
Sambutan itu turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Tugas-Tugas Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Taufiq yang juga bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) dipilih atas sumbangan yang diberikan beliau terhadap pembangunan pendidikan dan Islam khususnya di negeri ini.
Beliau turut berharap agar dapat diberi kekuatan untuk terus memperjuangkan Islam serta pendidikan kepada seluruh umat Islam di Sabah.
“Saya berharap Allah SWT akan memberikan kekuatan kepada saya untuk terus memperjuangkan Islam khususnya dari segi pendidikan kepada seluruh umat Islam di Sabah ini walaupun di mana berada.
“Sambutan tahun ini cukup luar biasa selepas kita hampir tiga tahun tidak bersama dimana sambutan terakhir secara fizikal adalah 2019 dan tahun ini semangat cukup tinggi dan kita inginkan semangat yang tinggi di kalangan masyarakat di Sandakan ini dapat menjelmakan sesuatu untuk agama Islam di Sabah,”katanya.
Sementara itu, Maimunah yang juga Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan melahirkan rasa syukur atas penganugerahan yang diberikan Kerajaan negeri kepadanya.
“Ini satu penghargaan yang besar bagi saya dan menginsafkan diri saya bahawa sebagai seorang penjawat awam ini kita perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh tanpa kita memikirkan apakah sumbangan kita dihargai ataupun tidak.
“Tapi Alhamdulillah kita dapat mengecapi apa yang dikehendaki oleh masyarakat itu sendri,” katanya.