Kerajaan teruskan pemberian subsidi ayam dan telur sehinga Disember 2022

Read Time:1 Minute, 42 Second

PUTRAJAYA : Kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur ayam melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM573.96 juta yang akan bermula bulan ini sehingga Disember depan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Dr Ronald Kiandee berkata, jumlah peruntukkan yang telah diperuntukkan Kerajaan bermula Februari hingga September lalu adalah berjumlah RM1.233 bilion.

Katanya, sehingga 4 Oktober lalu, sebanyak 13,440 permohonan tuntutan subsidi dengan nilai RM1.136 bilion telah diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Menurutnya, semua penternak boleh terus mengemukakan permohonan supaya subsidi dapat disalurkan. 

“Jemaah Menteri pada 7 Oktober lalu telah bersetuju supaya pemberian subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur ayam diteruskan dari bulan Oktober hingga Disember 2022 pada kadar RM0.80 sekilogram bagi ayam dan RM0.08 sebiji bagi telur. 

“Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira harga siling ayam standard di peringkat runcit dikekalkan pada kadar RM9.40 sekilogram dan harga siling telur ayam gred A, B dan C di peringkat runcit dikekalkan masing-masing pada kadar RM0.45, RM0.43 dan RM0.41 sebiji, di Semenanjung Malaysia. 

“Tujuan pemberian subsidi adalah untuk meringankan beban penternak susulan peningkatan kos pengeluaran yang berterusan terutamanya kos makanan ayam yang meliputi 70 peratus dari kos pengeluaran selain kos anak ayam (Day Old Chick – DOC), kos logistik, kos pekerja, kos utiliti dan kos ubat-ubatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ronald berkata, pembayaran subsidi akan disalurkan terus ke akaun penternak melalui Agrobank seperti mekanisme sedia ada melibatkan penternak persendirian, penternak integrator/semi-integrator dan juga penternak kontrak.

Katanya, pihak MAFI akan terus memastikan proses pembayaran subsidi berjalan dengan lancar dan penternak yang terlibat dapat menggunakan subsidi ini bagi memastikan kelangsungan pengeluaran di peringkat ladang. 

“Kerajaan terus komited memastikan industri ayam dan telur kekal mampan dengan meneruskan pemberian subsidi supaya bekalan dalam pasaran sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan.

“Kerajaan akan meneruskan usaha untuk memastikan ketersediaan dan kelangsungan bekalan ayam dan telur di pasaran kekal terjamin dengan harga yang berpatutan bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.