KOTA KINABALU: Dianggarkan sebanyak RM1.01 bilion peruntukan diperlukan bagi melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, kedua-dua pilihan raya itu akan melibatkan petugas seramai 363,515 orang.
“Sebanyak 8,958 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 38,348 tempat mengundi/saluran dan 578 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 970 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.
“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 9,536 buah dengan 39,318 tempat mengundi/saluran dan PRU-15 dan PRK DUN Bugaya Sabah ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.01 bilion,” katanya dalam sidang media di Putrajaya di sini hari ini.
Abdul Ghani berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRU-15 dan PRK DUN Bugaya, Sabah adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemaskini sehingga 9 Oktober.
Katanya, DPPR bagi PRU-15 ini mengandungi seramai 21,173,638 orang pemilih yang terdiri daripada 20,905,366 orang pengundi biasa, 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Tambahnya, DPPR bagi PRU-15 dijadualkan akan mula dijual pada 31 Oktober 2022 (Isnin).
“Para pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak. Semakan boleh dibuat mulai 31 Oktober 2022 (Isnin).
“SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi Kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), mana-mana badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat perjalanan proses PRU-15 bermula pada hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.
“Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat-pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi serta perlu mematuhi kesemua syarat-syarat pelantikan yang telah ditetapkan oleh SPR,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, permohonan untuk menjadi Pemerhati Pilihan Raya telah dibuka pada 11 Oktober dan ditutup pada 21 Oktober.
Katanya, permohonan masih boleh dikemukakan kepada SPR melalui emel [email protected]. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.spr.gov.my.
“Bagi menggalakkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi, SPR akan melaksanakan kempen `Jom Kita Undi` melalui pelbagai saluran media termasuk di media elektronik, media sosial, hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi-lokasi strategik tumpuan awam dan tempat-tempat lain yang bersesuaian,” katanya.