Ketua Menteri minta penjelasan SPR terhadap lonjakan mendadak jumlah daftar pemilih terbaru

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 25 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Sabah diminta supaya memberi penerangan dan penjelasan mengenai lonjakan mendadak jumlah daftar pemilih terbaru yang dikeluarkan SPR iaitu peningkatan sebanyak 53.9% (atau 574,120) dalam pengundi baharu, daripada 1,064,686 pada 2008 kepada 1,638,806 pada 2022.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau akan mendapatkan maklumat mengenai peningkatan secara mendadak jumlah daftar pemilih terbaru itu daripada pengarah SPR Sabah dalam masa terdekat ini.

“Kita akan dapatkan maklumat dan takilmat daripada pengarah SPR dalam masa terdekat ini, kita mahu mengetahui juga bilangan yang sesetengah pihak merasa ragu kerana jumlah terlampau mendadak jadi apabila kita mendapat taklimat, penerangan dan penjelasan daripada pengarah SPR nanti baru kita boleh buat komen.

“Sekarang ini kita hanya melihat atau pun mengetahui daripada beberapa personaliti yang menyatakan rasa keraguan mereka kepada lonjakan pengundi-pengundi secara automatik ini, jadi ianya perlu ada penerangan lanjut daripada SPR,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen ke-25 Kolej Teknologi Yayasan Sabah (YSCT) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Khamis. (20 Okt)

Dalam pada itu, Hajiji juga turut memberikan gambaran positifnya mengenai lonjakan mendadak jumlah berkenaan.

“Mungkin kerana sekarang sistemnya ialah daftar secara automatik apabila dia berumur 18 tahun ia akan didaftarkan secara automatik jadi kita tidak tahu mungkin ada orang-orang kita yang dahulu walaupun umur mereka lebih 18 tahun dan 21 tahun, mereka belum mendaftar.

“Dan ini mungkin juga ada yang saya tidak boleh cakap dan menyatakan sesuatu sehingga ada penjelasan dan penerangan lanjut dari pihak berkenaan,” ujarnya.

Sebelum ini, ada beberapa pihak yang mempertikaikan jumlah daftar pemilih terbaru meningkat secara mendadak dan turut meminta pihak berkenaan untuk meneliti perkara tersebut.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *