Bekas ADUN Sekong meninggal dunia

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong Datuk Samsuddin Yahya dilaporkan meninggal dunia petang tadi.

Difahamkan Allahyarham menghadapi masalah kesihatan ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu kira-kira jam 3 petang tadi menyebabkan penerbangan terpaksa berpatah balik ke ibu negara.

Beita duka itu turut dikongsi beberapa pemimpin negeri dan individu di media sosial termasuk Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Menerusi perkongsian itu, Hajiji mengucapkan takziah kepada keluarga dan mendoakan semoga Allah mengampunkan segala dosa Allahyarham Datuk Samsudin Yahya.

“Semoga Allah ampunkan segala dosa Allahyarham Datuk Samsudin Yahya yang baru sahaja pergi menghadap ilahi.  Semoga Allah terima segala amalan dan mengangkat darjat Allahyarham disisi-Nya.

“Semoga pemergian Allahyarham menjadi kerehatan sebenar dari urusan dunia. Semoga dilindungi dari seksa kubur dan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin. Allahumma Solli Ala Sayyidina Muhammad, Amin,” katanya

Difahamkan, pesawat dinaiki Allahyarham bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee itu berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 2.20 petang tadi dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 4.40 petang hari ini.

Bagaimanapun, disebabkan keadaan kesihatan Allahyarham, penerbangan Malaysia Airline yang dinaikinya terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur selepas kira-kira 40 minit berlepas.

Samsuddin ketika hayatnya pernah menjadi ADUN Sekong selama tiga penggal sejak 2004 sebelum tewas kepada calon Parti Warisan (WARISAN), Ariffin Asgali pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *