KOTA KINABALU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali yang dikuatkuasakan bermula semalam hingga 26 Oktober 2022.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Sabah, Zulfamy Mat Udi berkata, tempoh pelaksanaan SHMMP ini adalah selama tujuh hari dan berkuat kuasa pada empat hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan.
Katanya, sebanyak lapan barangan tersenarai menerusi SHMMP Deepavali 2022.
“Antaranya Daging kambing biri-biri import bertulang; Tomato; Cili Merah; Kelapa biji (Harga maksimum di peringkat borong sahaja) Dan Kelapa parut (Harga maksimum di peringkat runcit sahaja).
“Selain itu turut tersenarai, Bawang merah kecil (India); Bawang merah besar import dan Kacang dal (Australia),” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Zulfamy berkata, pada masa yang sama, ayam dan telur ayam juga telah disambung pewartaannya sebagai barangan harga terkawal dan sedang berkuat kuasa mulai 12 Oktober 2022.
Katanya, antara jenis barangan harga terkawal bagi pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam adalah seperti Ayam hidup; Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya) dan Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal).
“Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji); Telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji) dan Telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji),” katanya.
Sementara itu, Zulfamy berkata, KPDHNEP Sabah turut menjalankan pemeriksaan ke atas premis-premis tumpuan pengguna di sekitar Bundusan, Penampang dan Kota Kinabalu pada hari pertama pelaksanaan SHMMP Deepavali 2022.
Katanya, pemeriksaan itu juga bertujuan untuk memaklumkan kepada rakyat tentang langkah Kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup dan kenaikan harga barangan.
Tambahnya, sepanjang pemeriksaan dijalankan, kesemua premis mematuhi harga SHMMP Deepavali 2022 yang telah diwartakan.
“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah Skim ini.
“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.
“KPDNHEP sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan berkaitan salah laku peniaga. Pengguna boleh menyalurkan aduan menerusi saluran-saluran aduan yang disediakan,” katanya.