KOTA KINABALU : Penjawat awam khususnya di Sabah perlu sentiasa berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran digital seiring dengan perkembangan semasa yang bergerak dengan pantas.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata, ini kerana penjawat awam memainkan peranan besar dalam memastikan peningkatan sistem penyampaian kerajaan melalui pendigitalan dan juga memastikan ianya selamat.
“Saya menyeru kepada semua penjawat awam untuk bersama-sama dengan Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) dalam penglibatan dan kerjasama berterusan melaksanakan perkara ini.
“Ini juga sesuai dengan peranan JPKN sebagai pembangun utama aplikasi Kerajaan Negeri dalam ekosistem siber yang selamat,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Keselamatan Siber Sektor Awam Sabah 2022 di sini hari ini.
Yakub turut mengingatkan penjawat awam tentang keperluan menamakan dan memastikan untuk sentiasa mengemaskini senarai Pegawai Keselamatan ICT (ICTSO) di organisasi masing-masing.
Katanya, senarai itu juga perlu dimaklumkan kepada pihak Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan juga JPKN seperti mana yang diperlukan oleh Ketua Pengarah Keselamatan Negara dan Majlis Keselamatan Negara.
“Perkara ini akan membolehkan pihak NACSA terus menghubungi organisasi mengenai sebarang perkembangan atau isu keselamatan siber,” katanya.
Dalam pada itu, Yakub berkata, satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara JPKN dan CyberSecurity Malaysia telah ditandatangani pada 25 Ogos lalu yang bertujuan untuk mengesahkan kerjasama bagi melaksanakan Program CyberGuru di Negeri Sabah.
Katanya, ia berfokuskan program pensijilan Certified Information Security Awareness Manager (CISAM).
“Ia merupakan satu program latihan dan pensijilan ikhtisas yang memberi pengetahuan praktikal bagi membolehkan para pegawai perkhidmatan awam Negeri Sabah membangun dan mengurus program kesedaran keselamatan siber dalam organisasi mereka.
“MoU ini telah dimeterai berdasarkan keperluan utama untuk memperkasa pelaksanaan program kesedaran keselamatan siber yang dijalankan ketika ini, iaitu ia perlu diuruskan dengan lebih teratur di dalam setiap organisasi, di mana ini memerlukan pegawai dalam organisasi yang terlatih untuk membantu JPKN dalam meningkatkan tahap kesedaran keselamatan siber,” katanya. – SABAH MEDIA / EAW