Oleh Nur Istiqomah
LAHAD DATU: Calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di Parlimen Lahad Datu Maizatul Akmam Ahmad Alawi mahu menyambung semula perancangan yang tergendala termasuk menaik taraf fasiliti dan keperluan rakyat di kawasan berkenaan.
Katanya, ini termasuklah menaik taraf pembinaan Lapangan Terbang Lahad Datu yang tergendala sekian lama.
“Jika saya diberi mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, saya berhasrat untuk menyambung semula perancangan yang tergendala sebelum ini. Pada pemerintahan yang lalu, sebelum kita kalah kita ada beberapa perancangan untuk membangunkan Lahad Datu.
“Bukan sahaja lapangan terbang baharu yang akan dibangunkan tetapi segala fasiliti sedia ada akan dinaiktaraf dan menyambung segala perkara yang telah tergendala sebelum ini.
“Sebagai contoh Lapangan Terbang Lahad Datu dan naik taraf fasiliti disini tapi perkara itu tergendala dan saya berhasrat untuk menyambung apa yang tergendala,” katanya.
Maizatul berkata, beliau turut komited untuk merealisasikan segala perancangan serta hasrat yang ingin dibawa demi pembangunan Parlimen Lahad Datu khususnya.
Selain itu, beliau yakin dan percaya pada kelebihan atas sokongan yang diperolehinya khususnya daripada pengundi wanita.
“Saya percaya kelebihan dari segi itu, sebagaimana pada hari ini majlis santai yang kita adakan adalah dianjurkan oleh biro wanita persatuan etnik Idahan Sabah dan saya amat terharu bila persatuan ini mengundang saya untuk majlis santai,” katanya.
Dengan tegas Maizatul menjelaskan peranan besar wanita di peringkat akar umbi dan melihat bahawa golongan itu lebih aktif turun padang melibatkan diri dalam program parti amnya.
“Kelebihan kita (wanita) itulah, wanita sentiasa berada di peringkat akar umbi, apa apa program, parti atau mesyuarat cawangan atau bahagian wanita yang akan mengisi sebehagian korum sesuatu program khususnya.
“Wanita bukan lagi sekadar menatang dulang dan mengangkat panji bunga manggar, tetapi wanita merupakan tonggak utama sesebuah parti jelasnya. Kita bukan lagi tukang bawa bunga manggar seperti dulu dulu, tetapi kini kita adalah tonggak utama kekuatan parti,” katanya. – SABAH MEDIA