KOTA KINABALU : Kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa strategi bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan hak milik tanah di Sabah khususnya di luar bandar.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, antara strategi yang telah diambil adalah dengan menyelesaikan tunggakan permohonan tanah di semua daerah dengan melaksanakan inisiatif memproses semua permohonan tanah secara berkelompok.
Katanya, ia berdasarkan kawasan yang dipohon dengan mengaplikasikan teknologi ICT dan teknologi geospatial terkini.
“Berdasarkan statistik permohonan tanah, jumlah tunggakan pada 1 Januari 2015 adalah sebanyak 280,695. Jumlah ini telah berjaya dikurangkan kepada 37,857 setakat 31 Oktober 2022 iaitu pengurangan sebanyak 86.5 peratus dalam tempoh kurang dari lapan tahun.
“Jabatan Tanah dan Ukur akan berusaha untuk menyelesaikan baki tunggakan permohonan tanah tersebut pada tahun 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dr Aliakbar Gulasan (ADUN Dilantik) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Nizam berkata, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) telah merencanakan pelbagai pembaharuan serta pemodenan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan penyampaian.
Katanya, strategi seterusnya adalah mempercepatkan proses pengukuran permohonan tanah melalui kaedah Field to Finish (F2F) di mana pengukuran lot dan pelan hitungan diselesaikan serentak di lapangan.
“Ini secara langsung memendekkan tempoh memproses pengeluaran geran tanah. Penggunaan teknologi Global Navigation Satellite System (GNSS) yang baru dilaksanakan membolehkan pengukuran tanah secara berkelompok dilaksanakan dengan lebih cepat dan menjimatkan kos.
“Melalui Program Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) yang diwujudkan untuk menangani isu pemilikan tanah Anak Negeri di luar bandar, pengukuran berdasarkan pendudukan di atas tanah sehingga pengeluaran geran tanah ditetapkan dalam tempoh 12 bulan.
“Bilangan geran tanah yang telah dikeluarkan di bawah program PANTAS dari tahun 2012 sehingga 31 Oktober 2022 adalah sebanyak 27,572 geran melibatkan kawasan seluas 42,429.26 hektar,” katanya.
Katanya, melalui Program PANTAS, peratusan pemilikan tanah hak milik Anak Negeri di Sabah telah dapat ditingkatkan dari 24.5% atau 477,171 hektar daripada 1,946,087 hektar jumlah tanah berhakmilik pada tahun 2010 ke 42.7% atau 1,135,116 hektar daripada jumlah 2,655,683 hektar tanah berhakmilik pada tahun 2021.
“Selain itu, bagi menyelesaikan tunggakan pengukuran tanah untuk lot-lot permohonan tanah yang telah diluluskan, Kerajaan Negeri melalui inisiatif penswastaan pengukuran tanah Anak Negeri telah melantik Juruukur Berlesen untuk melaksanakan pengukuran tanah bagi mengurangkan kebergantungan terhadap Juruteknik Ukur Kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Nizam berkata, bagi memastikan semua strategi yang digariskan berjalan lancar, JTU telah menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi setiap bahagian yang terlibat serta melaksanakan pemantauan berkala agar objektif pengeluaran geran tanah dapat dicapai.
Katanya, sungguhpun pelbagai program dan strategi telah dilaksanakan dalam menperkasakan pentadbiran tanah di Sabah, terdapat beberapa kekangan dan cabaran asas yang masih dihadapi oleh Jabatan Tanah dan Ukur khususnya berhubung dengan pengukuran tanah di lapangan.
“Di antara masalah yang sering dihadapi oleh JTU semasa proses pengukuran dijalankan adalah pemohon tanah tidak dapat dihubungi disebabkan alamat yang dinyatakan dalam borang permohonan tanah tidak lengkap atau tidak dikemaskini disebabkan pemohon bekerja di luar daerah atau pemohon telah berhijrah ke tempat lain.
“Selain itu, masalah tuntutan atau bantahan ke atas permohonan tanah yang hendak diukur menyebabkan proses pengukuran tertangguh dan terpaksa dirujuk ke Pejabat Tanah daerah berkenaan untuk siasatan dan penyelesaian mengikut prosedur dan perundangan yang tersedia,” katanya. – SABAH MEDIA/EAW