HomeUtamaProjek Dau Dau Terima Anugerah Khas di United Kingdom

Projek Dau Dau Terima Anugerah Khas di United Kingdom

Read Time:2 Minute, 9 Second

KENINGAU: Projek pendidikan yang dilaksanakan oleh sepasukan guru Bahasa Inggeris dari Kolej Vokasional Keningau telah dipilih sebagai penerima anugerah hakim bagi kesaksamaan, kepelbagaian dan inklusif (Judges’ commendation for equality, diversity & inclusion) di majlis anugerah inovasi Bahasa Inggeris paling berprestij di dunia iaitu ELTons Innovation Awards anjuran British Council di London pada 30 November lalu.

Projek ini yang dikenali sebagai projek ‘Dau-Dau” yang bermaksud dahulukala dalam bahasa Bajau diilhamkan oleh Dr. Mohd Sirhajwan Idek, Nurazilah Othman dan Sydney Engelbert Ganggang merupakan projek seni yang menggabungkan seni persembahan, seni penulisan dan seni visual.

Menurut Ketua Kajian dan Inovasi, Kolej Vokasional Keningau, Dr Mohd Sirhajwan Idek yang juga salah seorang pemenang anugerah khas itu, mereka telah mendapat bimbingan dari Macmillan Education and International House World Organization yang turut diiktiraf dalam penganugerahan ini.

“Ini merupakan kali pertama Malaysia berjaya tersenarai di peringkat akhir anugerah ini dan seterusnya memenangi anugerah. Anugerah ini dilaksanakan secara bersemuka dan turut disiarkan secara langsung melalui aplikasi tertentu. Kami hadir secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pada majlis penganugerahan itu, mereka diwakili secara fizikal oleh rakan kerjasama di United Kingdom naik ke pentas untuk menerima sijil anugerah tersebut.

Dr Mohd Sirhajwan berkata, projek ini membimbing para pelajar untuk menghasilkan hasil karya seni mereka sama ada dalam bidang seni persembahan, seni penulisan, seni visual ataupun gabungan mana-mana bidang seni tersebut.

“Ini membolehkan pelajar mengasah bakat dan menunjukkan kreativiti mereka. Setakat ini, hampir 160 pelajar telah menghasilkan pelbagai video persembahan termasuklah persembahan boneka, teater pembaca, pantomim, drama radio, monolog dan animasi.

“Hasil karya ini telah dipertandingkan dalam festival seni dalam talian dan ramai pelajar ini telah berjaya memenangi anugerah melalui pertandingan sebegini,” ujarnya.

Selain itu, katanya, beberapa pelajar juga telah menghasilkan karya penulisan seperti puisi, cerpen, esei serta hasil seni lukisan yang telah diterbitkan di majalah-majalah yang berpangkal di Britain.

“Projek ini juga memberi alternatif tertentu seperti bahasa isyarat dan animasi kepada pelajar berkeperluan khas agar mereka jua dapat menghasilkan karya tersendiri dan menyertai sebarang pertandingan.

“Tema utama projek ini adalah cerita rakyat dan budaya etnik dan tema keduanya adalah isu-isu kontemporari,” tambah beliau.

Sementara itu, Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Johari @ Jaibet Sabin, memuji usaha guru-guru ini yang berjaya memperkayakan pengalaman belajar para penuntut institusi itu sambil memberi mereka peluang untuk menunjukkan bakat dan kreativiti mereka.

“Projek itu juga mampu membantu memelihara warisan budaya kerana ianya bertemakan cerita rakyat dan budaya etnik,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular