Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
KOTA KINABALU : Para graduan diingatkan untuk terus mengamalkan nilai-nilai murni khususnya dalam membudayakan sikap berintegriti, kejujuran dan hormat menghormati.
Pro Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tan Sri Azman Hashim berkata, amalan itu perlu sentiasa dipraktikkan tanpa mengira latar belakang budaya, agama dan bangsa.
“Malaysia merupakan salah sebuah negara yang terkenal dengan nilai hormat menghormati di mana rakyat hidup harmoni walaupun terdiri daripada latar belakang yang pelbagai.
“Sabah misalnya perlu dijadikan contoh kerana rakyat majmuk di wilayah ini hidup aman harmoni. Budaya seupama inilah yang perlu kita kekalkan demi perpaduan yang utuh dan kesejahteraan bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UMS kali ke-24 di sini baru -baru ini.
Majlis yang berlangsung selama tiga hari itu menyaksikan seramai 4,298 graduan diraikan di pentas Dewan Canselor UMS.
Dalam pada itu, Azman turut memberi pesanan kepada graduan agar tidak terjebak dengan salah guna kuasa dan amalan rasuah.
“Saya ingin berpesan kepada para graduan sekalian untuk menolak perbuatan rasuah terutamanya ketika memasuki alam pekerjaan kelak. Gejala rasuah perlu dibanteras habis-habisan.
“Kita sepatutnya mencontohi negara jiran, Singapura yang tidak bertoleransi terhadap perbuatan rasuah,” katanya. – SABAH MEDIA