HomeUtamaDemam denggi di Sabah catat peningkatan, 9 kematian dilaporkan

Demam denggi di Sabah catat peningkatan, 9 kematian dilaporkan

Read Time:2 Minute, 16 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU: Kes demam denggi di Sabah terus mencatat peningkatan  sebanyak 6,626 kes yang dicatatkan sehingga 17 Disember lalu dengan sembilan kematian dilaporkan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 296 peratus berbanding tempoh masa sama pada tahun lalu yang melaporkan sejumlah 1,675 kes dengan lima kematian.

Manakala katanya,  jumlah kes denggi yang dilaporkan sejak dua minggu lalu menunjukkan penurunan. 

“Dalam Minggu Epidemiologi ke-50 (ME 50) iaitu antara 11 hingga 17 Disember lalu, Sabah melaporkan sebanyak 234 kes denggi berbanding 241 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.

“Kota Kinabalu, Putatan, Sandakan, Tawau, dan Lahad Datu adalah lima daerah teratas dengan jumlah kes denggi tertinggi dilaporkan di Sabah dalam ME 50,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dr Rose Nani berkata, demam denggi adalah penyakit virus yang disebarkan oleh gigitan nyamuk Aedes yang dijangkiti. 

Katanya, demam denggi boleh berlaku dari tiga hingga 14 hari selepas gigitan nyamuk yang dijangkiti dan kebiasaan dalam tempoh empat hingga tujuh hari.

“la biasanya bermula dengan demam panas secara tiba-tiba, ruam, sakit kepala yang teruk, sakit di belakang mata, sakit otot dan sakit sendi.

“Tiada ubat atau vaksin khusus untuk denggi. Jangkitan denggi yang teruk memerlukan rawatan di hospital. Diagnosis dan rawatan awal berupaya menghalang berlakunya komplikasi dan menyelamatkan nyawa pesakit,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Rose Nani berkata, faktor yang dikaitkan dengan peningkatan bilangan kes adalah disebabkan kebersihan persekitaran yang tidak baik menyebabkan banyak bekas takungan air di dalam dan di sekitar rumah yang menggalakkan pembiakan nyamuk Aedes.

“Selain itu, hubung kait antara faktor iklim dan peningkatan kes denggi telah dilaporkan dalam beberapa kajian. Peningkatan suhu juga boleh mempercepatkan peringkat perkembangan nyamuk seterusnya meningkatkan penularan jangkitan denggi. 

“Cuaca lembap menghasilkan keadaan yang sempurna untuk pembiakan vektor denggi.

“Peningkatan pergerakan individu juga meningkatkan penyebaran virus daripada orang yang dijangkiti,” katanya.

Sementara itu, Dr Rose Nani turut menasihati masyarakat supaya mengambil langkah-langkah untuk mencegah penularan demam denggi dengan memusnahkan tempat pembiakan Aedes setiap minggu dan memastikan persekitaran bersih.

Selain itu katanya, elakkan gigitan nyamuk dengan menggunakan penghalau serangga semasa menyertai aktiviti luar, atau dengan menggunakan semburan racun serangga terutamanya di tempat tersembunyi seperti di belakang langsir.

“Dapatkan rawatan awal jika mengalami gejala demam denggi seperti demam, sakit pada otot dan sendi, serta ruam selain menjaga kebersihan persekitaran untuk mengelakkan pembiakan nyamuk,” katanya.

Dr Rose Nani berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan rapi terhadap situasi wabak denggi dimana jangkitan denggi berkait rapat dengan kebersihan persekitaran. 

“Justeru, setiap individu dan masyarakat perlu bertanggungjawab memastikan kawasan kediaman mereka bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes, dan menjalankan aktiviti cari dan musnah sekurang-kurangnya 10 minit seminggu,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Juhar banyak menyumbang kepada Sabah sepanjang tempoh perkhidmatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular