KOTA KINABALU: Sabah akan menerima bekalan vaksin sebanyak 1 juta dos pada bulan ini bagi kegunaan pemberian vaksin dibawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmey Yahya berkata, penghantaran vaksin berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga akhir Julai ini.
“Tengah hari tadi Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin memaklumkan kepada saya bahawa Sabah akan menerima bekalan vaksin sebanyak 1 juta dos untuk bulan Julai ini manakala penghantaran adalah secara berperingkat.
“Pada asalnya jadual penghantaran bulan ini adalah sekitar 700,000 dos vaksin sahaja tetapi sekarang ditingkatkan ke 1 juta dos dengan mengambil kira permintaan kerajaan negeri secara berterusan,” katanya ketika dihubungi Sabah Media disini hari ini.
Shahelmey berkata, kerajaan negeri amat mengalu-alukan peningkatan jumlah bekalan vaksin berkenaan bagi bulan Julai seterusnya dapat menjayakan PICK di Sabah.
Katanya, usaha kerajaan Sabah untuk mensasarkan lebih 30,000 penerima vaksin sehari akan dapat dijayakan seterusnya mencapai imuniti kelompok sebelum hujung bulan ini.