BERNAMA
KUALA LUMPUR : Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon berkata, Singapura adalah pasukan yang cenderung menggunakan corak permainan defensif, menjelang perlawanan terakhir Kumpulan B saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional di Bukit Jalil, malam esok.
Kenyataan Pan Gon itu adalah berdasarkan pemerhatian terhadap pendekatan taktikal Singapura yang tidak banyak berubah sejak kali terakhir kedua-dua pasukan itu bertemu dalam perlawanan persahabatan Mac lepas.
The Lions menang 2-1 dalam perlawanan itu yang diadakan di Singapura dan Pan Gon mengalami kekalahan pertama bersama pasukan negara.
Beliau berkata, corak permainan Singapura berlainan dengan pendekatan taktikal pihaknya yang lebih proaktif dan menyajikan permainan yang berkualiti tinggi dan menghiburkan.
“Pada saya (Singapura) Mac lepas dan kejohanan kali ini tak banyak beza… mereka lebih pentingkan pertahanan, banyak bermain di bahagian bawah dan mencari peluang untuk serangan balas tetapi Malaysia berbeza.
“Kami mahu lebih proaktif, mendominasi permainan, memberikan permainan bola sepak yang bertenaga dan dinamik untuk mencapai kemenangan jadi kami berbeza daripada mereka, namun saya rasa mereka mempunyai gaya tersendiri dan kami akan menghormati gaya dan pendekatan mereka,” katanya pada sidang media praperlawanan di Bukit Jalil, di sini hari ini.
Selepas Singapura seri tanpa jaringan ketika menentang Vietnam, Jumaat lepas, Malaysia tiada pilihan kecuali merekodkan kemenangan untuk layak ke separuh akhir bagi mengelak daripada tersingkir awal buat kali kedua berturut-turut dalam kejohanan itu.
Pan Gon turut menjangkakan Singapura akan mengekalkan permainan secara bertahan malam esok.
“Mereka akan menggunakan sepenuhnya kelebihan untuk berkumpul ke bahagian bawah dan mengawal bola, jadi terpulang pada kami, tiada siapa yang akan membantu kami. Kami akan pergi ke sana dan cuba membuktikan diri untuk memberi kemenangan kepada peminat dan itulah tugas kami,” kata jurulatih dari Korea Selatan berusia 53 tahun itu.
Sementara itu Pan Gon berkata, pemainnya menyedari pertembungan esok sangat penting dan memerlukan setiap individu untuk fokus sepanjang perlawanan bagi meraih tiga mata.
“Saya percaya pemain Harimau Malaya kami sangat matang dan profesional. Besok mereka akan menghormati pihak lawan dan bermain dengan pendekatan yang sewajarnya untuk menghadapi pihak lawan.Saya percaya (dengan) pendekatan ini kami mampu menampilkan persembahan yang mantap selain berharap dapat memberikan keputusan yang baik kepada peminat,” katanya.
Singapura, yang juga juara empat kali dan hanya memerlukan seri esok, kini mempunyai kelebihan satu mata di tempat kedua manakala Malaysia di tempat ketiga dengan enam mata.
Kali terakhir Malaysia menewaskan Singapura ialah pada aksi terakhir Kumpulan B Piala AFF 2014 yang menyaksikan dua gol ‘epik’ lewat permainan – penalti Safiq Rahim dan penyudah jarak jauh Indra Putra Mahayuddin membantu pasukan menang 3-1 di Stadium Nasional Singapura sekali gus mara ke separuh akhir. – BERNAMA