KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sabah telah membuka Pejabat Perhubungan Sabah atau Pejabat Perhubungan Negeri Sabah (PPNS) Kuala Lumpur di 3 Towers, Jalan Ampang di sini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, PPNS KL akan berkhidmat seperti sebuah kedutaan untuk rakyat Sabah yang bekerja dan menetap di Semenanjung Malaysia.
“PPNS KL, sebuah agensi Kerajaan Negeri Sabah di bawah Jabatan Ketua Menteri, juga bertindak sebagai perantara Kerajaan Negeri Sabah untuk urusan dengan Kerajaan Persekutuan yang melibatkan hal ehwal pentadbiran,” katanya pada majlis perasmian pejabat itu di ibu negara hari ini.
Beliau berkata, landskap pentadbiran Kerajaan Negeri telah berubah, justeru memerlukan interaksi antara kerajaan seperti isu migrasi, pelancongan, pelaburan dan hal ehwal diplomatik, yang memerlukan Kerajaan Negeri menubuhkan Pejabat itu.
Katanya, melalui PPNS KL, Kerajaan Negeri Sabah dapat melaksanakan dasar pentadbiran dengan lebih teratur dan sistematik.
“Saya mahu Pejabat Perhubungan Sabah memastikan pendekatan mesra pelabur kami berjaya. Dalam hal ini, saya mahu pejabat itu memperkukuh peranannya sebagai jambatan penghubung antara kerajaan Sabah dan Persekutuan serta dengan kedutaan asing dan syarikat swasta di semenanjung,” katanya.
Justeru, katanya, PPNS KL juga akan memaksimumkan kecekapan pengurusan tadbir urus, satu faktor penting dalam menarik lebih ramai pelabur datang ke Sabah.
“Saya mahu pejabat itu juga berfungsi sebagai pusat maklumat berkaitan pelancongan, budaya dan pelaburan,” jelasnya.
Hajiji berkata, imej Kerajaan Negeri Sabah juga akan menjalani penjenamaan semula dengan penubuhan Pejabat Rasmi Ketua Menteri di aras 23A, Penthouse di 3 Towers, yang dijangka siap akhir tahun ini.
Semasa pandemik CovId-19, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri melalui PPNS KL telah merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat Sabah di Semenanjung Malaysia. PPNS telah menerima hampir 200,000 permohonan daripada Sabah untuk Bantuan Prihatin Covid-19 2.0.
“Melalui PPNS, kita telah membelanjakan RM357,000 untuk pengagihan bakul makanan kepada rakyat Sabah yang tinggal di Semenanjung Malaysia dan RM239,362.46 lagi untuk membantu keluarga menghantar jenazah ahli keluarga mereka pulang ke Sabah pada 2021. Semua ini dilakukan untuk membantu golongan yang memerlukan dari Sabah,” katanya.
Beliau berkata, tonggak kedua Hala Tuju Sabah Maju Jaya – modal insan dan kemakmuran rakyat, akan menyaksikan pembinaan Rumah Transit untuk penduduk Sabah di Semenanjung Malaysia dijangka siap pada Disember tahun ini.
“Inisiatif baharu itu akan membantu mengurangkan beban dari segi kos bagi rakyat Sabah yang menguruskan pendidikan atau keperluan perubatan anak-anak mereka.
“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab terhadap amanah yang diamanahkan, kami akan terus berjuang untuk rakyat Sabah tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya.
PPNS KL mempunyai kekuatan kakitangan seramai 34 orang yang diketuai oleh Pengarah Sabariah Saffree.
Hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Armizan Mohd Ali, Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya, Speaker Datuk Seri Kadzim Yahya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohd Ariffin Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah, Datuk Datu Rosmadi Sulai.