Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Kota Kinabalu: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mandat yang diberikan rakyat kepada Kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dilaksanakan dengan baik dan tidak mengkhianati amanah yang diberikan.
Anwar berkata, Sabah perlu diangkat martabatnya kepada yang lebih baik selain pembangunan negeri ini terus dibangunkan ke tahap yang lebih memuaskan.
“Kebangkitan satu generasi atau penurunan itu tertakluk kepada sistem yang stabil dan pimpinan yang wibawa.
“Sebab itu kami di Kerajaan Persekutuan memilih untuk mempertahankan dan menyampaikan pandangan kepada rakan-rakan di Sabah, beri peluang kepada Ketua Menteri Hajiji untuk memimpin dan mengangkat semula martabat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan di Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Hadir sama, isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Ketua Menteri Datin Seri Juliah Salag.
Anwar berkata, dalam masa singkat juga, Hajiji juga mampu memantapkan kestabilan di negeri ini.
“Dan sekarang saya fikir tidak lagi bangkit apa-apa ketegangan politik dan kami di Persekutuan menyambut baik dan mahu pasukan ini bekerjasama serta utuh membangunkan semula Sabah,” katanya.
Justeru itu, Anwar mahu satu kerjasama erat dengan kerajaan negeri dan semangat idealisme serta muafakat perlu diamalkan dalam negara berbilang bangsa.
Katanya, nilai manusia perlu diangkat dan jangan sesekali menghina dan merendahkan kaum lain.
“Inilah nilai insan serta kemanusiaan yang harus diamalkan,” katanya.
Anwar juga memberikan jaminan bahawa golongan miskin tegar di Malaysia akan diselamatkan dengan kekuatan jentera kerajaan Pusat dan setiap negeri.
“Ini adalah tekad politik, sekiranya ada amalan ini, anda akan mampu kekalkan integriti. Masalah bukan terletak pada agama atau kaum, tetapi pada diri sendiri untuk menyampaikan sesuatu perkhidmatan itu,” katanya. – SABAH MEDIA