Kota Kinabalu : Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee yakin pemain import yang diturunkan pada setiap perlawanan mampu memberi aksi yang terbaik kepada pasukan.
Katanya, ini termasuklah aksi perlawanan menentang Kelantan United FC pada saingan Liga Super 2023 di Stadium Likas malam esok.
“Untuk pemain import, saya masih belum menentukan siapa yang akan berada dalam kesebelasan utama mahupun sebagai pengganti.
“Jika apa-apa berlaku pada sesiapa sekalipun kita mempunyai pengganti dan saya percaya sesiapa juga pemain import yang diturunkan pasti akan memberi yang terbaik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai status pemain yang mengalami kecederaan, Kim Swee berkata, pada ketika ini beberapa pemain masih lagi mengalami kecederaan selain tidak begitu cergas.
“Kemungkinan beberapa pertukaran akan dilakukan esok bagi memastikan siapa yang diturunkan berada di dalam tahap yang terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, Kim Swee berkata, beliau tidak mahu para pemain skuad Badak mengambil mudah kepada pasukan Kelantan United FC.
“Saya sudah berkali-kali berkata kepada setiap pemain, pasukan mana sekalipun kita bermain kita harus kekal fokus dengan apa perancangan pasukan yang ingin kita lakukan.
“Jadi kita tidak boleh mengambil mudah terhadap Kelantan United kerana mereka hampir berjaya mengikat Selangor di mana ini penting untuk kita tidak memberi banyak ruang kepada pasukan Kelantan United,” katanya.
Sabah FC kini berada ditangga pertama Liga Super selepas memulakan aksi liga menewaskan PDRM FC Sabtu lalu dengan keputusan 4-0. – SABAH MEDIA