HomeSukanSabah FC kekalkan rentak kemenangan tundukkan Kelantan United FC

Sabah FC kekalkan rentak kemenangan tundukkan Kelantan United FC

Read Time:1 Minute, 41 Second

Kota Kinabalu : Sabah FC meneruskan rentak kemenangan apabila berjaya menewaskan Kelantan United FC 3-1 dalam saingan Liga Super 2023 di Stadium Likas di sini malam ini.

Sebaik babak pertama bermula, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu bermula garang dengan beberapa percubaan awal pasukan tuan rumah namun berjaya dipatahkan pertahanan Kelantan United FC.

Serangan demi serangan tuan rumah berjaya membuahkan hasil apabila penyerang Darren Lok menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-22 selepas Daniel Ting dijatuhkan didalam kotak penalti pasukan pelawat membolehkan tuan rumah mendahului 1-0.

Berselang empat minit kemudian, Sabah FC terus mengembirakan penyokong yang hadir seramai 12,500 orang dengan gol kedua menerusi jaringan ketua pasukan Park Taesu.

Park berjaya menolak masuk bola hantaran Gabriel Peres pada minit ke-26 membolehkan Sabah FC terus mendahului jaringan 2-0.

Tamat masa rehat, skuad Badak tidak menunggu lama untuk terus menambah gol ketiga menerusi tandukan pemain import dari Portugal, Telmo Castanheira pada minit ke-46 hasil hantaran Daniel Ting dari arah kiri kotak penalti Kelantan United FC.

Pasukan pelawat yang tidak menyangka serangan mendadak seawal minit separuh masa kedua itu kemudian mengatur gerakan untuk cuba mengalihkan tumpuan di kawasan Sabah, namun masih gagal melakukan percubaan berbisa.

Skuad Sang Badak pula dilihat lebih banyak bertahan di kawasan sendiri selepas mengumpul tiga gol dan hanya melakukan beberapa serangan berbahaya ke arah gawang lawan.

Ketika menghampiri minit akhir perlawanan, Sabah mengatur semula serangan dan berjaya mendapat beberapa sepakan sudut, namun gagal menghasilkan jaringan.

Kelantan United turut mencuba nasib pada minit akhir untuk sekurang-kurangnya mencipta satu gol, sebelum akhirnya berjaya meledak gol tunggal menerusi sepakan percuma yang disempurnakan Indra Putra pada masa tambahan minit ke-92.

Indra Putra turut mencuba sepakan percuma yang diberikan kepada Kelantan United ketika masa berbaki kira-kira 10 saat, namun kali ini gagal, sekali gus mengekalkan keputusan 3-1 yang memihak kepada Sabah FC.

Dengan keputusan itu, Sabah FC kekal mengungguli tangga teratas liga dengan enam mata dan akan bertemu Kuching City FC di Stadium Negeri pada 6 Mac ini. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

280 peserta sertai ‘Tropical Rainforest Run 2024’ Ahad ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular