Kelekaan pemain punca gawang dibolosi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 41 Second

Kota Kinabalu : Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee nyata tidak berpuas hati dengan kelekaan para pemain yang menyebabkan gawang pasukan dibolosi pada minit tambahan perlawanan menentang Kelantan United FC yang berkesudahan 3-1 pada saingan Liga Super di Stadium Likas di sini semalam.

Katanya, kelekaan itu turut menyebabkan skuad Badak gagal mengekalkan tiga jaringan tanpa balas sepanjang 90 minit perlawanan.

“Yang penting kita dapat lagi tiga mata tetapi selepas mendahului sudah tentu saya tidak berpuas hati dengan corak permainan kita dimana kita dibolosi pada minit-minit terakhir.

“Saya percaya ini satu kelekaan daripada para pemain dimana kita harus tahu walaupun mendahului kita harus pastikan kita tidak dibolosi.

“Jadi secara keseluruhan apa yang penting kita dapat tiga mata penuh dimana ia penting. Untuk ke perlawanan seterusnya kita harus memperbaiki lagi,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan semalam.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu menewaskan Kelantan United 3-1 hasil jaringan Darren Lok, Park Taesu dan Telmo Castanheira masing-masing pada minit ke-22, 26 dan 46, manakala Indra Putra menjaringkan satu gol sagu hati untuk pasukan pelawat pada minit ke-92.

Ketika ditanya mengenai prestasi pemain selepas mengharungi dua perlawanan Liga Super 2023, Kim Swee berkata masih terlalu awal untuk membuat penilaian.

Namun beliau tidak mahu melihat anak buahnya hanya menyinar dalam dua tiga perlawanan.

“Masih terlalu awal untuk kita menilai pemain tapi bagi saya dua perlawanan setelah mendapat enam mata, saya percaya bukan Darren Lok saja, semua pemain melakukan tugas yang baik dan penting di sini untuk mereka kekal konsisten.

“Saya tidak ingin melihat pemain hanya bersinar dua tiga perlawanan tetapi selepas itu mereka tidak boleh bermain dengan baik.

“Bagi saya semua pemain perlu kekal konsisten tidak kira Darren Lok atau pemain mana sekalipun,” katanya.

Kim Swee berkata, selepas ini pemain Sabah FC perlu mengukuhkan lagi corak permainan terutama apabila bertandang ke gelanggang lawan yang disifatkannya berbeza berbanding perlawanan di hadapan penyokong sendiri.

Sabah FC akan berdepan Kuching City FC di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada 6 Mac ini. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *