HomeUtamaRamai rakyat termiskin yang layak tidak tersenarai dalam eKasih - Riduan

Ramai rakyat termiskin yang layak tidak tersenarai dalam eKasih – Riduan

Read Time:1 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU: Ramai rakyat termiskin di Sabah khususnya di Tenom masih tidak tersenarai dalam Sistem Bank Data Kemiskinan Nasional​​ (eKasih), kata Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin.

Katanya, beliau menerima aduan daripada pemohon yang layak bahawa mereka terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan kelulusan permohonan eKasih.

Menurutnya, lebih mengecewakan ialah sebahagian permohonan mereka ditolak setelah menunggu bertahun lamanya tanpa dinyatakan alasan dan sebab munasabah permohonan ini ditolak.

“Saya sendiri telah turun mengadakan lawatan dan pertemuan dengan mereka ini (pemohon eKasih) dan mendapati bahawa kehidupan mereka sangat daif dan memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan dengan kadar segera.

“Justeru penting untuk mereka (rakyat termiskin yang layak) mendapatkan kelulusan daripada kementerian berkenaan kerana sekiranya permohonan mereka diterima, sudah pasti, ianya akan memudahkan urusan mereka dalam memohon bantuan lain seperti rumah dihawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), bantuan kebajikan dan rawatan di hospital”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas pada peringkat jawatankuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, semalam.

Riduan berkata, dalam beberapa siri lawatan kerjanya di kawasan Tenom, beliau sempat menziarahi orang meninggal. Apa yang menyedihkan adalah si mati meninggal kerana ketidakmampuannya untuk membayar rawatan di hospital bagi mengubati penyakit kronik yang dihadapinya.

“Akhirnya, beliau terpaksa membiarkan dirinya menanggung kesakitan sehingga ke akhir hayatnya”, tegasnya.

Justeru beliau menggesa sistem pangkalan data eKasih ditambah baik supaya dapat mengenal pasti data yang lebih mikro agar ianya lebih tepat hingga berupaya untuk menyasarkan individu yang benar-benar memerlukan bantuan bagi mengelakkan keciciran.

Menurutnya, penstrukturan semula sistem eKasih juga perlu dibuat agar ianya lebih bersepadu serta memperbaiki kaedah kelulusan.

Beliau berpendapat, setiap peringkat lapisan kepimpinan terutamanya Ketua Kampung dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) perlu dilibatkan secara aktif bagi mengenal pasti inidividu yang layak untuk disenaraikan ke dalam sistem eKasih agar tidak ada individu yang memerlukan diabaikan dan disisihkan.

“Saya berharap agar kriteria kelulusan sedia ada dikaji semula oleh pihak berwajib memandangkan ramai permohon yang layak namun dinafikan hak mereka agar keadilan sosial yang sewajarnya dapat diterjemahkan kepada mereka”, tambahnya.

Riduan juga meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membantu golongan ibu tunggal kerana mereka merupakan antara kumpulan komuniti rentan yang mudah terjejas dengan perubahan ekonomi dan kos sara hidup serta mempunyai pelbagai dugaan dari segi pekerjaan, pendapatan dan kebajikan.

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular