Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Kota Kinabalu : Sebanyak tiga buah lokasi Bazar Ramadan dibuka pada tahun ini sekitar bandaraya Kota Kinabalu yang dikendalikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanam Chan Foong Hin berkata, antara lokasi bazar yang dibuka ialah di Asia City, Taman Putera Jaya Telipok dan Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Katanya, pembukaan bazar di lokasi yang ditetapkan FAMA itu dilihat selari dengan pemulihan ekonomi negara khususnya di negeri ini.
“Pada petang ini saya melancarkan Bazar Ramadan Asia City yang sangat popular dikalangan masyarakat sekitar Kota Kinabalu.
“Selain Asia City, FAMA Sabah juga telah membuka dua lagi bazar lain iaitu di Taman Putera Jaya Telipok dan Pusat Islam UMS,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Bazar Ramadan Asia City di sini hari ini.
Hadir sama Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip dan Timbalan Pengarah FAMA Sabah Sebastian Chew.
Foong Hin berkata, Bazar Ramadan Asia City pada tahun ini turut disertai seramai 95 orang peniaga berdaftar berbanding tahun lalu hanya seramai 70 orang.
“Jika kita lihat, bazar ini bukan hanya tertumpu kepada umat Islam, namun mereka yang bukan umat Islam juga datang ke sini untuk membeli juadah berbuka puasa.
“Selain itu saya juga menyeru agar para peniaga di sini untuk sentiasa menjaga tahap kebersihan dan sentiasa patuh kepada peraturan yang ditetapkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK),” katanya.
Pada pelancaran itu, turut diadakan majlis penyampaian sumbangan bubur lambuk, kurma dan sumbangan berupa barangan IKS serta wang tunai kepada Rumah Anak-Anak Kesayangan, Kota Kinabalu.
Bazar Ramadan Asia City itu telah memasuki tahun ke-21 penganjuran sejak diperkenalkan pada tahun 2001 oleh FAMA Negeri Sabah.
FAMA Sabah turut menyasarkan sebanyak RM800,000 nilai jualan di Bazar Ramadan Asia City pada tahun ini. – SABAH MEDIA