HomeIsu tempatanUSIA beri komitmen dalam bidang pendidikan

USIA beri komitmen dalam bidang pendidikan

Read Time:1 Minute, 52 Second

Tambunan : Pendidikan kepada anak-anak muda Islam khususnya di negeri ini menjadi antara komitmen Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA).

Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad berkata, komitmen itu adalah bagi membolehkan mereka mempunyai laluan mudah untuk menimba ilmu apabila dewasa.

Katanya, pendidikan yang sempurna juga mampu untuk membangunkan kesejahteraan ummah.

“Sebagai contoh, USIA melalui Bahagian Tawau dan Sandakan telah menubuhkan pendidikan awal untuk kanak-kanak Islam, melalui Tadika dan kelas pengajian Islam.

“Selain itu, sebuah pusat pengajian awal untuk kanak-kanak Islam sedang dalam proses pembinaan di Tanjung Aru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa seterusnya menyantuni 100 orang anak-anak yatim di Rumah Anak Yatim (RAY) Tambunan di sini kelmarin.

Majlis itu dianjurkan USIA Bahagian Tambunan.

Sapawi berkata, bagi peringkat tinggi, USIA sedang berkolaborasi dengan Institut Kemahiran Islam Darul Redzuan (IKDAR) untuk menyediakan pendidikan teknikal dan vokasional kepada para lepasan Pusat-Pusat Tahfiz Al Quran dari seluruh Negeri Sabah.

Katanya, pengajian itu akan dikendalikan di Pusat Latihan Dakwah USIA- AlBUKHARY, di Kampung Marasinsim Kota Marudu.

Tambahnya, melalui program itu, para lepasan Pusat-Pusat Tahfiz akan didedahkan dengan pendidikan TVET dan membolehkan mereka memiliki SPM sehinggalah ke peringkat Diploma.

“Usaha murni seperti ini sudah tentu memberi ruang dan peluang kepada para Hafiz yang telah berjaya dalam bidang Al Quran, untuk memiliki pengiktirafan secara formal,” katanya.

Sapawi menjelaskan langkah seumpamanya menjadi intipati perjuangan USIA dibawah kepimpinan beliau yang telah dimuktamadkan menerusi Pelan Strategik Pembugaran USIA.

Katanya, sudah pasti strategi itu bertepatan dengan konsep Malaysia Madani yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Hala tuju kerajaan negeri yang diilhamkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau turut memuji usaha USIA Bahagian Tambunan yang sedang aktif melaksanakan program-program ekonomi melalui koperasi yang ditubuhkan oleh USIA Bahagian, seterusnya membolehkan USIA Bahagian Tambunan berdikari dalam menjalankan tugas dakwah demi kepentingan Islam di daerah berkenaan.

Sementara itu, Ketua USIA Bahagian Tambunan, Mohd Yassin Mohd Yunus dalam ucapannya berkata, USIA dibawah kepimpinan Sapawi telah menunjukkan komitmen tinggi dalam melaksanakan perjuangan dakwah melalui bidang pendidikan, penjanaan ekonomi dan kerja-kerja dakwah.

Turut hadir ADO Tambunan Mohd Azri Jaini Jeffery, Bendahari Agung USIA Sainuri Yahmin, Ketua Penerangan USIA Datuk Abdullah Hussin, Pengetua RAY Rauf Abas dan Ketua Wanita USIA Tambunan Hajah Norsuhana Abdullah. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Orang ramai dijemput hadir ke pameran khas karya seni Tuan Yang...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular