Putatan : Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mencatat trend peningkatan menerusi kutipan zakat bagi tempoh lima tahun mulai 2018 sehingga tahun lalu.
Yang DiPertua MUIS Datuk Seri Yahya Hussin berkata, trend itu disebabkan berlaku pertambahan jumlah pembayar serta agihan zakat yang sangat ketara dalam kalangan umat Islam di negeri ini.
“Dengan ini, kita dapat mengagihkan zakat, kalau dulu 2018 sehingga 2022 trend itu juga meningkat dari segi jumlah orang yang diagihkan,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Yatim 1444H di kediamannya di sini semalam.
Beliau optimis peningkatan jumlah kutipan dan agihan tersebut dijangka terus bertambah pada tahun ini dan MUIS meletakkan RM125 juta dan RM162 juta masing-masing sebagai angka sasaran kutipan dan agihan zakat.
“Setakat Januari hingga April tahun ini, kita telah agihkan RM 50,300,589.67 walaupun pungutan zakat baru RM 43,641,928.19.
“Jadi kita lebih agihan dan begitulah dari hari ke hari, tahun ke tahun, zakat meningkat disebabkan kesedaran masyarakat, kesedaran syarikat-syarikat yang ada Sabah ini,” katanya.
Pada majlis itu, Yahya menyampaikan sumbangan duit raya serta bakul makanan kepada 100 anak-anak yatim dari sekitar Putatan, sebelum berbuka puasa dan menunaikan solat fardhu Maghrib, Isyak dan solat sunat Terawih.
Terdahulu, beliau juga menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada 50 peserta majlis tadarus dan khatam Al-Quran.
Hadir sama, isteri Yahya, Datin Seri Siti Jouyah Mohd Yunin dan Setiausaha yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Ramlan Awang Ali.