Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Kota Kinabalu : Dua lelaki disyaki cuba mencuri kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi di sini berjaya ditahan sepasukan Polis Bantuan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, suspek berkenaan telah ditahan berdekatan Condominium Bay 21, Jalan Tanjung Lipat semalam.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir. Idris Mohd Noor berkata, kedua-dua suspek telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Susulan kejadian kecurian kabel milik SESB yang berleluasa sejak kebelakangan ini, pihak kita menerusi Polis Bantuan SESB telah melancarkan operasi khas iaitu Operasi Kabel Elektrik.
“Intipan dan rondaan giat dilakukan pasukan Polis Bantuan SESB di kawasan-kawasan yang dikenalpasti sering berlaku kejadian kecurian kabel milik SESB,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, seramai 20 anggota Polis Bantuan SESB yang diketuai Pengurus Kanan Jabatan Keselamatan dan Risikan, Aszman Jaiman terlibat di dalam operasi tersebut.
Idris berkata, pihaknya turut merampas peralatan yang disyaki digunakan untuk mencuri kabel elektrik.
Sehubungan dengan itu, orang ramai boleh menghubungi SESB Careline melalui 15454, 088- 515000, Whatsapp 019- 852 5427 untuk sebarang aduan mengenai kegiatan yang mencurigakan dipepasangan milik SESB. – SABAH MEDIA