Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Beaufort : Orang ramai khususnya di daerah ini dinasihatkan untuk mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan terhadap kesihatan berikutan cuaca panas yang melanda sejak beberapa hari lalu.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Siti Aminah Aching berkata, orang ramai juga dinasihatkan untuk menghadkan masa berada di luar bangunan dan melakukan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas.
“Saya difahamkan dalam beberapa hari ini keadaan cuaca memang agak panas. Jadi saya mengharapkan agar orang ramai khususnya di daerah ini sentiasa berhati-hati terutama sekali ketika menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri.
“Selain itu, saya juga ingin menasihati orang ramai agar banyakkan meminum air kosong walaupun tidak terasa dahaga kerana kita takut nanti akan berlaku dehidrasi dan strok haba,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Parlimen Beaufort di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir di sini pagi tadi.
Majlis rumah terbuka anjuran Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Beaufort itu mendapat kerjasama Kumpulan Sawit Kinabalu dan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) turut dihadiri lebih 5,000 pengunjung sekitar daerah ini dan daerah berhampiran.
Dalam pada itu, Pengarah Operasi Kumpulan Sawit Kinabalu Datuk Bacho Jansie turut meminta agar orang ramai untuk sentiasa meminum air secukupnya dan mengelak daripada berada di kawasan panas.
“Seperti semua sedia maklum, keadaan cuaca yang panas dalam beberapa hari ini. Saya nasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan mereka meminum air secukupnya dan juga jangan berpanas di luar sana,” katanya.
Beaufort menjadi antara kawasan yang dikategorikan sebagai kawasan mencatatkan suhu maksimum atau cuaca panas tahap berjaga.
Cuaca panas tahap berjaga itu mencatatkan suhu maksimum sekitar 35 hingga 37 darjah Celsius dan boleh berlarutan sehingga tiga hari. – SABAH MEDIA