HomeSukanPamer aksi konsisten buru mata kelayakan ke Olimpik 2024 - Norza

Pamer aksi konsisten buru mata kelayakan ke Olimpik 2024 – Norza

Read Time:2 Minute, 13 Second

BERNAMA
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kuala Lumpur : Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahu pemain negara terutama yang tersenarai dalam projek ‘Road to Gold’ (RTG) bangkit mempamerkan aksi konsisten dalam setiap kejohanan disertai susulan pemburuan mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2024, Paris bermula semalam.

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata pihaknya sentiasa memberikan sokongan sewajarnya kepada pemain negara tanpa mengira sama ada mereka bernaung di bawah BAM atau bergerak secara profesional.

Mengikut format pertandingan Olimpik bagi sukan itu yang bermula semalam hingga 28 April tahun depan, setiap negara boleh diwakili maksimum dua pemain perseorangan sekiranya kedua-dua mereka menduduki ranking 16 terbaik serta dua beregu sekiranya kedua-dua mereka menduduki ranking lapan terbaik.

“Proses kelayakan sudah bermula dan akan berakhir setahun daripada sekarang, ia paling penting bagi pemain kerana Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan mengira daripada 10 permainan terbaik untuk mata kelayakan.

“Kita mahu dengan adanya RTG dan bantuan yang diberikan, pemain semakin meningkat serta tunjukkan prestasi konsisten sampai tahap kemuncak sebelum April 2024,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2023 di Kelab Golf Seri Selangor, semalam.

Dalam pada itu, Mohamad Norza bersedia mencadangkan beberapa nama pemain yang mempamerkan persembahan bertenaga kepada jawatankuasa RTG untuk dipertimbangkan seperti pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menjuarai Kejohanan Badminton Orleans Masters pada April lepas.

“Ada peminat badminton yang mengatakan mengapa kita tidak melihat kepada beberapa nama seperti Tang Jie-Ee Wei dan perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong namun ia adalah proses. Mana-mana pemain yang kita perlu angkat ke laluan pantas Olimpik, kita akan buat pertimbangan kepada RTG kerana (sekarang ini) hanya senarai permulaan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya akan berjumpa dengan kesemua pemain badminton yang tersenarai di bawah projek RTG pada hujung minggu ini bagi membincangkan bentuk keperluan dan sokongan yang mereka perlukan.

Projek RTG yang diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bulan lepas dianggap sebagai projek nasional dengan objektif untuk menyelaras usaha negara dalam memburu pingat emas sulung di Sukan Olimpik meliputi edisi Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

KBS sebelum ini mengumumkan sukan badminton mendominasi senarai atlet iaitu 11 orang daripada 15 atlet yang tersenarai dalam program RTG, melibatkan pemenang pingat gangsa beregu lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; jaguh profesional lelaki negara, Lee Zii Jia dan beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah.

Turut tersenarai adalah tiga beregu profesional iaitu dua wakil dari kem beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie serta beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.- BERNAMA.

RELATED ARTICLES
Sukan

Alto, Martin ketuai barisan kejurulatihan sementara Sabah FC

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular