Kota Kinabalu : Gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan di Sabah dan Labuan malam tadi pulih sepenuhnya pada jam 10.06 malam semalam.
Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dalam satu kenyataan berkata, gangguan itu berpunca dari kerosakan teknikal pepasangan di salah satu Pencawang Masuk Utama milik SESB.
Kerosakan itu menyebabkan beberapa janakuasa utama terpelantik dan seterusnya mengakibatkan sistem Grid Sabah kehilangan kapasiti 200MW.
“Lanjutan daripada itu, pemulihan bekalan dilakukan secara berperingkat bermula dari jam 8 malam tadi dan siasatan terhadap punca kerosakan masih dilakukan,”menurut kenyataan itu di sini hari ini.
SESB turut memohon maaf atas segala kesulitan dialami pengguna semasa gangguan bekalan elektrik dan sebarang pertanyaan mengenai gangguan bekalan, pengguna boleh menghubungi talian SESB Careline di 15454. – SABAH MEDIA