KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) cawangan Kota Kinabalu telah mengadakan lawatan ke rumah kebajikan Rumah Bakti Harapan dekat sini pada Isnin.
Setiausaha Politik Vivien Lee mewakili Ketua Cawangan Datuk Christina Liew menyerahkan sumbangan berupa makanan serta barangan runcit kepada Pengasas merangkap Pengurus Rumah Bakti Harapan, Ginantar Balud.
Turut hadir Setiausaha KDN Angela Joseph, Setiausaha Kehormat PKR Cawangan Kota Kinabalu Helen Muhammari dan Ahli Jawatankuasa Chan Jun Git.
Pada masa ini, rumah kebajikan berkenaan yang didaftarkan pada tahun 2003, menyediakan perlindungan kepada 10 anak yatim dan orang kurang upaya berumur 20 tahun ke atas.
Berkongsi cabaran yang dihadapi dalam mengendalikan rumah kebajikan yang disewa itu, Ginantar berkata beliau tidak dapat menerima penghuni lagi kerana ruang yang terhad.
“Sebenarnya kami sepatutnya berpindah tetapi tuan rumah itu baik hati membenarkan kami tinggal sehingga premis baharu yang dicadangkan siap.
“Awal tahun ini, kami telah membeli sebidang tanah di Tuaran untuk tujuan membina rumah perlindungan baharu tetapi rancangan kami terhalang oleh kerana kekurangan dana,” katanya.
Dalam mendapatkan bantuan daripada Kerajaan, Ginantar merayu kepada Christina untuk mendapatkan bantuan kerana bangunan baharu itu dianggarkan menelan kos kira-kira RM550,000.
“Selain menempatkan penghuni, dua blok utama itu juga akan menggabungkan pejabat, dewan serba guna dan unit warga emas,” katanya.