BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan harga barangan asas terutama yang diberikan subsidi tidak akan naik secara melampau pada tahun ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Beliau berkata ini termasuk harga gula dan barang bukan kawalan antaranya minyak masak kerajaan botol yang menerusi sentiasa dipantau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“KPDN mempunyai tanggungjawab setiap hari untuk memantau harga barangan asas rakyat dan setakat ini, tinjauan KPDN mendapati barang bersubsidi seperti telur, ayam, RON95 dan diesel tidak pernah naik dan tidak mungkin naik.
“Minyak masak peket bersubsidi yang dijual RM2.50 juga tidak naik, begitu juga harga minyak masak botol juga dilihat tiada kenaikan malah ada yang menjualnya lebih rendah daripada harga ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas meninjau harga barangan di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Menurut Salahuddin sehingga kini, KPDN juga tidak menerima sebarang aduan berkaitan kenaikan harga barangan sekali gus menafikan dakwaan daripada beberapa pihak yang menyatakan berlaku kenaikan harga ketika ini.
Salahuddin bagaimanapun meminta orang ramai supaya melaporkan kepada KPDN sekiranya mendapati berlaku kenaikan harga barangan asas di mana-mana pasar raya mahupun kedai runcit.
“Terus laporkan dengan segera kepada KPDN dan kita akan ambil tindakan serta- merta,” katanya dan menambah rakyat jangan mudah terpengaruh dengan serangan pihak pembangkang terhadap kerajaan susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan diadakan bulan depan.
Mengulas laporan media mengenai harga barang dijangka naik 20 peratus pada Oktober ini, Salahuddin berkata mengambil maklum perkara itu KPDN dan pihaknya akan terus melaksanakan tugas untuk memantau harga barang terutama keperluan asas.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan harga barangan pengguna dijangka meningkat sehingga 20 peratus menjelang Oktober dengan didorong dua faktor utama iaitu inflasi import dan peningkatan kos operasi perniagaan di Malaysia. – BERNAMA