Kota Kinabalu : Penjawat awam khususnya di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah merupakan ejen penggerak dalam melaksanakan dasar dan halatuju Kementerian.
Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, para kakitangan KBS juga menjadi ejen kepada pengantara antara rakyat dan Kerajaan yang berharga.
“Sehubungan itu, pengorbanan dan sumbangan yang telah dicurahkan oleh penjawat awam tidak pernah diabaikan oleh Kerajaan.
“Anugerah seumpama ini bukan sekadar pendorong atau pengiktirafan, bahkan dalam skop yang lebih luas, ia menjadi nadi penggerak, dan peneraju kepada perubahan positif, dalam membudayakan kecemerlangan kerja khususnya di KBS Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KBS Sabah bagi tahun 2022 di sini baru-baru ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Fairuz Renddan.
Ellron berkata, pada masa kini, prestasi, kompetensi, efisiensi dan ilmu dan senioriti atau tempoh masa yang lama dalam perkhidmatan bukanlah menjadi kayu pengukur kepada kecemerlangan seseorang penjawat awam.
“Oleh itu, sebagai penjawat awam, kita harus sedar bahawa kita diberi tanggungjawab untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan cekap, ikhlas dan beriltizam tinggi.
“Selaras dengan frasa ‘Sabah Maju Jaya’, kita haruslah mencurahkan segala bakti dan kudrat dalam menjayakan agenda pembangunan Negeri, khususnya Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (2021-2025),” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar pengiktirafan dan penghargaan seumpama ini, dapat melonjakkan lagi motivasi untuk menjadi insan yang bersahsiah, berintegriti dan berakauntabliti.
Selain itu katanya, pengiktirafan itu juga dapat menjadi role model kepada rakan sekerja yang lain melalui persaingan yang sihat dalam membuktikan keupayaan diri masing-masing. – SABAH MEDIA