Kota Belud: Kelab Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan program Santuni Komuniti, Kesejahteraan Bersama di Kampung Jawi-Jawi, di sini, baru-baru ini.
Bertemakan ‘Jelajah Keluarga Angkat Borneo 1.0’, majlis perasmiannya disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk merangkap Pengerusi Sabah Softwoods Berhad, Datuk Mohd Arsad Bistari.
Berucap pada majlis itu Arsad berkata, kesedaran terhadap bahaya dadah perlu diberi perhatian dalam memastikan masyarakat terus terhindar daripada penyalahgunaan bahan terlarang itu.
“Ini kerana penyalahgunaannya boleh merangkumi pelbagai kumpulan umur dan latar belakang sosial.
“Justeru isu ini perlu yang sentiasa diberi perhatian dalam kalangan masyarakat. Pada kesempaatan ini, syabas dan tahniah diucapkan kepada Kelab PEMADAM UMS atas usaha menganjurkan program ini bersama komuniti,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Penganjur, Rosli Sidin; Ketua Kampung Jawi-Jawi, Jamari Seleh; Ketua Kampung Sangkir, Sabih Muluk; Naib Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Osman Johari; dan Pengarah Program, Mohd Ridzwan Majuk.
Dalam pada itu, Ridzwan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.
“Diharapkan program ini dapat memberi impak yang positif kepada komuniti khususnya dalam membendung penyalahgunaan musuh nombor satu negara.
“Semoga ia juga mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara Kelab PEMADAM dengan komuniti setempat dan dapat membantu pihak kerajaan untuk mencapai matlamat generasi muda bebas dadah,” ujarnya.
Program itu turut disemarakkan dengan penglibatan 12 keluarga angkat daripada Kampung Jawi-Jawi dan Kampung Sangkir serta guru-guru dan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Jawi-Jawi. – SABAH MEDIA