Kota Kinabalu: Semua sektor diharap dapat bekerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi menarik lebih banyak pelaburan ke negara ini.
Setiausaha Agung Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Shu Ying berkata, statistik ekonomi Malaysia menunjukkan prestasi kukuh pada separuh pertama 2023 dan mencapai indeks positif.
“Ekonomi negara melebihi jangkaan dengan pengembangan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama tahun ini, meletakkan Malaysia antara negara di hadapan di rantau ini. Malaysia menyaksikan lonjakan dalam pelaburan asing dengan jumlah RM71.4 bilion diluluskan pada suku pertama.
“Ia adalah peningkatan sebanyak 60 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Shu Ying berkata, MITI telah memperoleh lebih RM230 bilion dalam pelaburan dan lebih RM10 bilion dari segi perdagangan pada separuh pertama 2023.
“Bagi separuh kedua tahun ini, MITI dijangka akan mengembangkan usahanya di Eropah dan Timur Tengah.
“Walaupun menghadapi cabaran, Malaysia kekal optimistik memenuhi unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) antara empat dan lima peratus,” katanya.
Chin berkata, Malaysia perlu lebih transformatif dan strategik untuk memperkasakan semula teras sektor pembuatan dan eksport serta membina ekonomi yang lebih berdaya tahan.
“Justeru, saya berharap semua pihak perlu menyokong dan bekerjasama dengan MITI supaya ekonomi negara terus meningkat,” katanya.