HomeIsu tempatanUMS anjur program pemantapan kesedaran ibu bapa terhadap hak kanak-kanak

UMS anjur program pemantapan kesedaran ibu bapa terhadap hak kanak-kanak

Read Time:1 Minute, 54 Second

Kota Kinabalu: Kelab Pendidikan Awal kanak-kanak, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Program Kesedaran Hak Kanak-kanak di Sekolah Kebangsaan (SK) Kindu, Tuaran, baru-baru ini.

Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-kanak FPP UMS, Dr. Juppri Bacotang berkata program itu bertujuan memberikan pendedahan kepada masyarakat khususnya ibu bapa tentang hak kanak-kanak.

Katanya, ibu bapa merupakan insan yang paling penting dalam kehidupan kanak-kanak dan mempunyai amanah serta tanggungjawab besar untuk mengasuh, menjaga dan mendidik kanak-kanak sejak awal umur lagi.

Tambah Juppri program itu antara lain memberi peluang kepada pelajar UMS menjalinkan kerjasama erat dengan komuniti setempat.

“Melalui program ini juga, pelajar dapat melihat dan merasai sendiri persekitaran dan suasana di sekolah luar bandar bagi memastikan mereka sentiasa bersedia dan kompeten dalam menghadapi apa jua cabaran mendatang.

“Di samping itu, ia juga bagi memberi peluang kepada para pelajar untuk mempraktikkan ilmu dan pengetahuan yang telah dipelajari kepada golongan sasar iaitu kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program tersebut.

Juppri turut menekankan kepentingan pendidikan awal termasuklah prasekolah yang dapat membantu kanak-kanak menguasai 4M (membaca, menulis, mengira, dan menaakul) sebagai asas persediaan sebelum mereka ke sekolah rendah.

“Pendidikan merupakan salah satu hak yang perlu diberikan kepada semua kanak-kanak demi menjamin masa depan mereka. Ini perlu bermula sejak awal umur kanak-kanak lagi sama ada bermula di rumah, taska, mahupun di prasekolah atau tadika,” tambahnya.

Manakala Pengarah Program, Muhammad Ehsan Kamba berkata, program itu merupakan kerjasama FPP bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Sabah.

“Peserta program terdiri daripada ibu bapa dan kanak-kanak prasekolah yang disajikan dengan pelbagai aktiviti bermanfaat seperti ceramah keibubapaan, sesi pengajaran dan pembelajaran dan sukaneka.

“Selain itu juga, terdapat aktiviti bersama kanak-kanak yang dijalankan oleh pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak iaitu membuat kraf diorama bertemakan hidupan laut di kelas prasekolah.

“Aktiviti ini dapat memupuk minat kanak-kanak terhadap seni dan kraf, dan seterusnya meningkatkan kreativiti dan imaginasi mereka,” jelasnya.

Pada program tersebut, turut diadakan ceramah keibubapaan yang menjelaskan tentang hak kanak-kanak yang merangkumi Hak Kehidupan, Hak Perlindungan, Hak Perkembangan, dan Hak Penyertaan yang disampaikan oleh wakil SUHAKAM, Mohd Irsyad Hamilin dan Qalista S. Dohny.

Turut hadir, Guru Besar SK Kindu, Sitiamah Sahat dan Ketua Penolong Setiausaha SUHAKAM Sabah, Dr. Alfonso Min. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Ko-Nelayan, UMS jalin kolaborasi bangun produk makanan hiliran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya