Kota Kinabalu : Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 akan meneruskan siri jelajah ke Pantai Barat Utara mulai Ahad ini.
Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, pelepasan konvoi akan berlangsung di Astaka Padang Pekan Tuaran mulai seawal jam 7 pagi.
“Selain pelepasan konvoi, terdapat banyak aktiviti lain akan diadakan antaranya Sukan Seni Madani, Sukaneka Seminit, pertandingan mewarna, pertandingan Puzzle Merdeka, persembahan artis PENTARAMA dan cabutan tiket bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah lumayan untuk dimenangi.
“Dari Tuaran, konvoi akan bergerak ke Kiulu dan seterusnya ke Tamparuli yang bakal menyaksikan satu kejutan diadakan di Jambatan Tamparuli sebelum menuju ke destinasi seterusnya iaitu Kudat.
“Oleh itu, penduduk sekitar Tuaran dan daerah berhampiran dijemput untuk hadir memeriahkan sambutan ini dan marilah kita bersama-sama kibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cinta kepada negara,” ujarnya kepada media selepas program bual bicara bersama Kupikupifm, di sini semalam.
Konvoi KMJG 2023 menyaksikan Tuaran, Keningau, Sipitang, Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu menjadi destinasi persinggahan utama sebelum berakhir pada 20 Ogos depan.