Tuaran : Program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 dapat membantu mempromosi industri pelancongan luar bandar di Kiulu.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Joniston Bangkuai berkata, daerah tersebut kini menjadi contoh bagi industri pelancongan luar bandar.
“Kami berharap persinggahan konvoi pada kali ini dapat sedikit sebanyak dapat membantu mempromosikan pelancongan luar bandar yang terdapat di sini.
“Selain itu, terima kasih diucapkan kepada Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor kerana memberi jaminan dan komitmen untuk turut membantu melalui jabatan supaya Kiulu akan lebih dikenali.
“Bagi pihak warga Kiulu, kami amat berterima kasih kerana Kiulu dipilih sebagai salah satu tempat persinggahan konvoi KMJG 2023,” katanya ketika ditemui media dalam Program KMJG 2023 Daerah Kiulu di sini.
Menurut Joniston, kemajuan yang bakal dicapai oleh daerah tersebut melalui aktiviti pelancongan luar bandar akan dapat memberi manfaat kepada penduduk sekitarnya.
Dalam pada itu, Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu menegaskan, menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia untuk mengibarkan Jalur Gemilang khususnya dalam bulan kemerdekaan.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berbangga dan menunjukkan kita ini merupakan masyarakat yang patriotik.
“Mengibarkan Jalur Gemilang adalah cara untuk kita menzahirkan kepada negara akan rasa sayang dan cinta akan negara kita dan menghargai nikmat kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini,” katanya.