HomeUtamaPembangunan bidang pendidikan sentiasa diberi keutamaan

Pembangunan bidang pendidikan sentiasa diberi keutamaan

Read Time:1 Minute, 35 Second

Penampang : Pembangunan dalam bidang pendidikan merupakan antara fokus yang sentiasa diutamakan Kerajaan, pemimpin tempatan termasuk masyarakat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan Jannie Lasimbang berkata, masyarakat berilmu merupakan aset yang mampu membawa kepada kemakmuran sejagat serta mampu menyediakan modal insan yang mahir dan berpengetahuan tinggi.

“Kita sedar bahawa sebilangan pelajar kurang berkemampuan untuk menyediakan keperluan asas dalam memulakan pengajian atau mempunyai peruntukan membayar pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

“Justeru untuk meringankan beban kewangan pelajar cemerlang di kalangan B40 hari ini, saya difahamkan Yayasan Bank Rakyat (YBR) telah bersetuju menyediakan Bantuan Awal Pengajian (BAP) yang merupakan salah satu inisiatif  YBR membantu golongan memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan BAP YBR di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang di sini hari ini.

Program kerjasama YBR dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Penampang itu turut dihadiri Pengerusi YBR, Datuk Philip Lasimbang; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Penampang Sektor Perancangan, Germaine Marcella Sikijip dan Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Pada majlis itu, seramai 332 pelajar cemerlang B40 dari beberapa sekolah menengah, di sini, menerima BAP sumbangan YBR.

Jannie berkata,  usaha ini merupakan satu kerjasama padu bersaa badan korporat yang merupakan satu titik permulaan yang baik dalam membantu golongan memerlukan.

Katanya, ini juga membuktikan bahawa warga pendidik boleh berganding bahu bersama organisasi swasta yang lain untuk mencapai matlamat pendidikan yang ingin dikecapi.

Terdahulu, Philip berkata, bantuan tunai yang diberikan kepada pelajar yang berjaya mendapatkan keputusan cemerlang itu adalah sebagai tanda penghargaan dan memberi semangat terhadap usaha mereka.

Sementara itu, semalam YBR turut mengagihkan bantuan kepada 63 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di lapan sekolah menengah di Tenom.

YBR menyampaikan sijil dan insentif bagi membantu meningkatkan akademik dan memotivasikan mereka untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

Majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di Hotel Perkasa, Tenom itu disempurnakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Junik Bajit. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

400 pelajar sertai Program Smart Jawab SPM 2024

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular