HomeUtamaHubungan Malaysia, Indonesia turut mencakupi seni budaya seiring konsep MADANI

Hubungan Malaysia, Indonesia turut mencakupi seni budaya seiring konsep MADANI

Read Time:57 Second

BERNAMA

JAKARTA — Hubungan Malaysia dan Indonesia melangkaui bidang diplomatik dan ekonomi malah turut mencakupi seni budaya seiring dengan konsep Kerajaan MADANI, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata selain hubungan dua hala diplomatik dengan pentadbiran Presiden Joko Widodo serta interaksi dengan pengusaha dan pelabur, pemerkasaan seni budaya turut diberi perhatian.

“Saya mendapatkan juga pengalaman mereka dan cadangan untuk tingkatkan hubungan dua hala, juga memperkasa seni budaya,” katanya kepada media selepas menghadiri program bersama pempengaruh dan selebriti di sini malam ini.

Program ‘Santai Bersama Anwar’ dihadiri seniman, seniwati dan pempengaruh terkemuka Indonesia termasuk Mulan Jameelah, Maruli dan Bara Tampubolon, Kartika Putri, Habib Usman, Selvi Kitty serta Melly Goeslow selain artis Malaysia Fazura.

Antara perkara yang dibincang pada pertemuan itu ialah usaha memperjuang nasib golongan artis, menjadikan seni budaya sebagai medium dakwah, kerjasama artis kedua-dua negara dan peranan mereka dalam menjaga hubungan harmonis dua negara. 

Anwar tiba di sini petang tadi bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 yang bermula esok hingga 7 September.

Beliau dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala bersama Rakan Dialog ASEAN antaranya Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada.

RELATED ARTICLES
Utama

Pasukan sukarelawan dicadang diwujudkan bantu mangsa banjir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular