Kota Kinabalu : Taman-Taman Sabah (TTS) akan menutup laluan ke puncak Gunung Kinabalu jika hujan lebat berlaku di kawasan puncak bermula pada tengah malam sebelum aktiviti pendakian dimulakan.
Pengarah TTS, Dr Maklarin Lakim berkata, tindakan segera yang diambil itu adalah bagi mengelak sebarang kemalangan atau insiden tidak diingini.
“Kejadian hujan lebat dan pembentukan sungai di Gunung Kinabalu biasanya berlaku di laluan Kilometer 7.2 ke puncak dan ia adalah fenomena biasa, namun Taman-Taman Sabah tetap mengambil beberapa langkah untuk menjamin keselamatan pendaki.
“Langkah itu termasuk kawalan kuota bilangan pendaki dalam sehari iaitu dihadkan kepada 163 orang saja sehari. Setiap pendaki mesti dibimbing seorang malim gunung dengan maksimum lima pendaki bagi seorang malim gunung.
“Seterusnya ialah langkah kawalan oleh Renjer Taman yang mana pintu laluan ke puncak gunung akan ditutup kepada pendaki apabila hujan lebat sejak tengah malam,” katanya, ketika dihubungi, di sini.
Maklarin berkata, langkah keselamatan yang diambil TTS itu adalah bagi menjamin keselamatan pendaki berikutan kekerapan kejadian aliran air deras akibat hujan lebat yang berterusan di puncak Gunung Kinabalu sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) di bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kejadian bencana di Gunung Kinabalu.
“Selain itu, laluan pendakian juga direntang dengan tali putih sebagai panduan kepada pendaki melakukan aktiviti pendakian dengan selamat.
“Pada masa yang sama, kita juga meneliti kemudahan dan cadangan penambahbaikan yang lain di laluan ini bagi meningkatkan tahap keselamatan aktiviti pendakian di puncak Gunung Kinabalu,” katanya.
Beberapa hari lalu, tular klip video dikongsikan pendaki dan petugas di Gunung Kinabalu menunjukkan aliran air yang deras seperti air terjun di laluan ke puncak, selain klip video menunjukkan pendaki mengharungi aliran air yang deras sebelum ini.