HomeUtamaKeanggotaan Perwakilan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak Dalam Anggota Lembaga, LHDN akan...

Keanggotaan Perwakilan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak Dalam Anggota Lembaga, LHDN akan diperkukuh – Armizan

Read Time:2 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Pelantikan secara pentadbiran perwakilan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sebagai Anggota Lembaga, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dilaksanakan sejak tahun 2022 hingga kini akan diperkukuhkan dengan pelantikan keanggotaan tetap melalui kuatkuasa undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan tersebut akan dilaksanakan melalui pembentangan Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 RUU LHDNM (Pindaan) 2023) yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Kelima Belas yang akan bersidang mulai 9 Oktober sehingga 30 November 2023.

“Pembentangan ini adalah sejajar dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Jun 2023 yang memperakukan syor Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTP-MA63) yang telah bermesyuarat pada 19 Januari 2023 di Kuching, Sarawak Mesyuarat MTP-MAG3 tersebut telah dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya selepas menyempurnakan Program Wacana Madani “MA63: Aspirasi 60 Tahun Sabah Dalam Malaysia”, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Menurut Armizan, syor supaya perwakilan tetap Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dilantik sebagai Anggota Lembaga, LHDN telah dibangkitkan kali pertama dalam platform rasmi perundingan pelaksanaan MA63 oleh Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Hajiji dan Kerajaan Negeri Sarawak di bawah pimpinan Abang Johari dalam Mesyuarat Majlis Khas MA63 pada 18 Oktober 2021.

“Syor ini telah dibangkitkan atas asas untuk mengembalikan kedudukan asal kewujudan perwakilan kedua-dua negeri ini dalam institusi tersebut sejak penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Tuntutan ini juga sejajar dengan peruntukan berhubung percukaian seperti terkandung dalam sub perenggan 24(1) Financial Provisions, Inter- Governmental Committee (IGC) Report pada tahun 1962.

“Keanggotaan wakil daripada Negeri Sabah dan Sarawak dalam Malaysian Board of Income Tax telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan pada ketika itu. Pelaksanaan pada ketika itu adalah berdasarkan peruntukan dalam undang-undang melalui Perintah 1964 yang berlandaskan Income Tax Ordinance 1947 of the States of Malaya dan Income Tax Ordinance 1956 of Sabah serta Inland Revenue Ordinance 1960 of Sarawak,” katanya.

Walau bagaimanapun, Armizan berkata, peruntukan mengenai keanggotaan wakil Negeri Sabah dan Sarawak ini terhenti apabila Malaysian Board of Income Tax dan ketiga-tiga undang- undang berkaitan dimansuhkan setelah semua perkara berkaitan cukai pendapatan dikawal selia oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri Malaysia mulai tahun 1967. Fungsi ini kemudiannya diteruskan oleh LHDNM yang telah ditubuhkan pada tahun 1996 di bawah Akta 533.

Katanya, Pindaan Akta 533 yang memperuntukkan keanggotaan tetap wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak ini menzahirkan komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini adalah untuk melaksanakan isu-isu tertangguh berkait dengan MA63 sekali gus menghormati serta mengiktiraf hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular