HomePolitikGagasan Rakyat Bahagian Sulaman bentang usul terus sokong PMX, tolak gerakan guling...

Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman bentang usul terus sokong PMX, tolak gerakan guling kerajaan

Read Time:3 Minute, 35 Second

TUARAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman mengambil pendirian tegas tidak mengiktiraf sebarang gerakan untuk menggulingkan kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akhir tahun lalu dan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sulaman, Datuk Abd Kassim Razali, berkata sejajar dengan itu beliau mengusulkan agar Gagasan Rakyat terus menyokong kepemimpinan Perdana Menteri Ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai Kerajaan Perpaduan persekutuan.

Katanya, Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman berpendirian pentingnya kestabilan kerajaan dipelihara untuk kepentingan semua, termasuk kesinambungan pembangunan di Sabah.

Beliau berkata, bagi rakyat Sabah PMX adalah pemimpin yang mesra negeri marginal Borneo yang terbukti menerusi pelbagai reformasi untuk memperbaiki tatakelola hubungan Federal-Negeri, sejajar dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara ber-Persekutuan.

Jelasnya, ia termasuk langkah PMX yang memberi ’empowerment’ kepada Sabah dan Sarawak dalam pelaksanaan projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta yang menjadi bukti jelas mengenai komitmen tinggi serta iltizam politik PMX mengangkat status serta memartabatkan kepentingan Borneo.

“Melihat jauh ke hadapan, tentu saja kestabilan politik negara dan negeri amat penting bagi memastikan bahawa segala peracangan pembangunan ekonomi dan sosial dapat dilaksanakan.

“Sehubungan itu, Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman berpendirian tegas bahawa kita tidak sesekali mengiktiraf apa jua bentuk gerakan untuk menggulingkan kerajaan yang sudah dibentuk selepas PRU dan PRN lalu.

“Oleh yang demikian, saya mengusulkan agar kita semua terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim, berasaskan dengan komitmen, iltizam serta pendekatan Kerajaan Perpaduan yang mesra kepada negeri marginal seperti Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul sempena Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Presiden Gagasan Rakyat dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sulaman di Dewan Seri Sulaman, di sini pada Ahad.

Sokongan kepada PMX adalah antara tiga usul dibentangkan Abd Kassim pada persidangan sulung Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman itu sebagai gambaran keteguhan pendirian parti itu mendokong dan menyokong pimpinan kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan.

Usul kedua pula berkaitan pendirian Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman untuk menyokong pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang berjaya diperkenalkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika berdepan cabaran getir COVID-19 kira-kira dua tahun lalu.

Kassim berkata, SMJ adalah pelan pembangunan menyeluruh untuk kepentingan rakyat Sabah yang wajar disokong ke arah memastikan negeri ini dan rakyatnya dapat pulih dari segi kemajuan sosio ekonomi.

“Hala Tuju SMJ ini dirangka khusus sebagai panduan membina semula hala tuju pembangunan negeri, yang berpaksi kepada kepentingan sejagat, bagi memakmurkan umat dan rakyat majmuk kita yang berbilang kaum dan bersilang budaya.

“Ia adalah pelan pembangunan komprehensif dan paling menyeluruh kerana bukan saja memfokuskan kepada sektor yang perlu dibangunkan seperti pertanian, pelancongan dan perindustrian tetapi juga memfokuskan kepada usaha membangunkan kesejahteraan dan kemahiran modal insan,” katanya.

Sementara itu, katanya, bagi usul ketiga, Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman menggesa kerajaan memberi fokus untuk menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah mengikut keperluan tempatan.

Tegasnya, ia adalah isu ‘touch point’ atau dekat dengan rakyat dan paling penting untuk ditangani menggunakan langkah yang proaktif dan pragmatik bagi mencari penyelesaian secara tuntas.

“Sememangnya, ia bukan mudah kerana ia hanya dapat diatasi jika kita seimbangkan pelan ekonomi aras tinggi (import-eksport dan pelaburan luar) dan ekonomi akar umbi (aktiviti ekonomi skala tempatan dengan menggunakan sumber lokal).

“Dalam konteks ini, maka adalah penting dan wajar, supaya pendekatan ekonomi akar umbi diperkasakan lagi, dengan menggerakkan segmen ekonomi pada peringkat komuniti setempat,” katanya.

Jelasnya, kemiskinan di Sabah bukan disebabkan isu pertumbuhan dan pelaburan ekonomi tetapi lebih berkait dengan isu pengagihan pendapatan.

Justeru itu, katanya usaha menoktahkan kemiskinan tegar perlu memfokuskan kepada pemerkasaan ekonomi akar umbi, iaitu dengan mengenal pasti keperluan akar umbi bagi mengurangkan jurang pendapatan mereka dengan golongan yang kaya.

“Oleh yang demikian, perancangan dan pendekatan yang dibuat Kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya terlalu umum, sebaliknya ia mesti berfokus dan menjurus kepada kumpulan sasar, sebagaimana disenarai dalam sistem e-Kasih berasaskan keadaan dan senario setempat.

“Ini penting kerana punca kemiskinan yang berlaku di Kuala Lumpur tentu berbeza dengan apa yang berlaku di negeri Sabah. Begitu juga, pendekatan bagi penyelesaian kepada isu kemiskinan tegar di Sabah, tentu sekali berbeza dengan negeri di Semenanjung.

“Dalam hal ini, Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman menggesa Kerajaan Persekutuan supaya sentiasa melibatkan kerajaan negeri, jabatan, badan berkanun, dan badan bukan kerajaan (NGO) dari Sabah dalam proses merangka pelan menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Mangsa samun ditetak, patah tulang, luka lengan kanan dan kiri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya