PENAMPANG: Seramai 35 peminat burung telah berkumpul di perkarangan Empangan Babagon bagi menyertai Bengkel Burung Helang Sabah: Kemahiran Pengenalan dan Pengamatan yang dianjurkan oleh Persatuan Pemerhati Burung Sabah dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tourism Malaysia dan Jetama Sdn Bhd.
Bengkel selama dua hari bermula 10 hingga 11 Oktober 2023 itu diadakan di UMS.
Pengerusi Kumpulan Unggas, Persatuan Pencinta Alam Singapura, Tan Gim Cheong berkata, bengkel berkenaan merupakan platform terbaik kepada peminat aktiviti memerhati burung untuk meningkatkan pengetahuan yang lebih mendalam mengenai tingkah laku burung helang, terutamanya jenis migrasi semasa Migrasi Musim Sejuk Utara.
“Terdapat sekurang-kurangnya lima jenis spesies burung helang di sekitar Empangan Babagon yang memainkan peranan penting dalam mengimbangi ekosistem setempat.
“Empangan Babagon menjadi kawasan penting bagi helang-helang di sini dan tidak mustahil menjadi tempat persinggahan bagi helang migrasi dari luar negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Gim Cheong yang juga salah seorang pakar corak migrasi burung helang di seluruh dunia berharap Persatuan Pemerhati Burung Sabah dapat berkerjasama dengan Jetama Sdn Bhd membuat pemerhatian migrasi burung helang dari luar negara secara berkala.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pemerhati Burung Sabah, Ron Pudin, melahirkan rasa kagumnya terhadap keindahan Empangan Babagon.
“Sebagai perbandingan, pengalaman menyusuri empangan ini seperti berada di Sungai Kinabatangan.
“Kita selalu diberikan gambaran bahawa empangan akan merosakkan alam semula jadi, tetapi Empangan Babagon menunjukkan sebaliknya.
“Penemuan burung Pekaka Bukit juga memberi penunjuk bahawa kualiti air di sini adalah bersih.
“Ekosistem mengadaptasi perubahan dan ia kini ia menjadi tempat perlindungan penting bagi burung-burung di sini,” jelasnya.
Sejajar dengan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar, Pengurus Besar Bahagian Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG), Jetama Sdn Bhd, Ahmad Zaki Abu Bakar berkata, Jetama sentiasa komited menjaga kawasan empangan berkenaan.
“Kami di Jetama memberi tumpuan kepada inisiatif kelestarian hijau selaras dengan “Halatuju Sabah Maju Jaya” dan berharap akan wujud lebih banyak kerjasama dengan agensi kerajaan dan pihak swasta pada masa hadapan.
“Program yang dilaksanakan hari ini merupakan komitmen pihak syarikat untuk memelihara alam sekitar dan mempromosikan pelancongan lestari di Sabah.
“Sekali gus membuktikan pembinaan empangan tidak menjejaskan persekitaran semulajadinya, bahkan boleh menjadi eko-sistem yang berkembang dengan baik sekiranya ditadbir urus dengan mengutamakan kelestarian hijau,“ kongsinya.
Empangan Babagon siap dibina pada tahun 1997, merupakan empangan terbesar di negeri Sabah dengan ketinggian 70 meter mampu menakung sehingga 23,780 juta liter air pada satu-satu masa daripada jumlah yang mengalir melalui Sungai Babagon ke Sungai Moyog.