HomeUtamaSabah sambut baik ‘Belanjawan Merakyat’ yang dibentangkan Perdana Menteri

Sabah sambut baik ‘Belanjawan Merakyat’ yang dibentangkan Perdana Menteri

Read Time:2 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan Belanjawan 2024 yang dibentangkan hari ini, sebagai ‘Belanjawan Merakyat’ kerana meletakkan kepentingan rakyat sebagai fokus dan teras keutamaan. Beliau berkata inti pati Belanjawan 2024 jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Perpaduan menjurus ke arah mengurangkan kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan di negara ini.

“Pengawalan kos sara hidup dan peningkatan pendapatan khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana, menjadi tumpuan Belanjawan 2024 ini. Inilah
yang saya maksudkan sebagai belanjawan merakyat,” katanya.

Terdahulu, beliau menyaksikan pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim, bersama Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun menerusi siaran langsung dari Dewan Rakyat, di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Jumaat.

Hajiji berkata, peruntukan pembangunan untuk Sabah berjumlah RM6.6 bilion menerusi Belanjawan 2024, adalah manifestasi dukungan Kerajaan Perpaduan menyeimbangkan pembangunan antara wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Katanya, peningkatan peruntukan tahun depan sebanyak RM100 juta adalah juga sebahagian usaha Kerajaan Persekutuan memenuhi pelaksanaan Perjanjian Malaysia
1963 (MA63).

“Kerajaan Negeri Sabah menyambut baik dan mengalu-alukan penyediaan peruntukan tersebut dan bertekad untuk menjadikannya inspirasi apabila kita membentangkan Belanjawan Negeri Sabah 2024 tidak lama lagi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, inti pati Belanjawan Madani 2024 itu akan diambil kira dan disesuaikan dengan teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) menerusi Belanjawan Negeri Sabah 2024 nanti.

Hajiji berkata, Belanjawan 2024 yang merupakan belanjawan kedua yang dibentangkan Anwar sejak mengambil alih teraju pemerintahan pada 24 November 2022, jelas menunjukkan wilayah Borneo terus digerakkan dalam arus pembangunan negara apabila Sarawak turut diberikan peruntukan berjumlah RM5.8 bilion.

Beliau berkata, dasar fiskal yang lebih baik dan progresif yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024 ini, akan membawa impak besar kepada Sabah dalam usaha untuk membangunkan ekonomi negeri ini dan menarik pelaburan asing.

“Kita melihat dasar yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024 ini sebagai amat inklusif, dengan mengambil kira keadaan ekonomi global,” katanya.

Beliau berkata, Sabah akan terus berusaha memperkasa pertumbuhan bagi menggalakkan perdagangan dan pelaburan. Sehingga kini, perdagangan negeri
Sabah telah mencatat rekod tertinggi dalam sejarah, iaitu melonjak naik RM118.1 bilion pada tahun 2022, berbanding hanya RM87.2 billion pada tahun sebelumnya.

Selain itu, katanya, dalam tempoh tiga tahun lalu, Kerajaan Negeri telah berupaya membawa masuk lebih RM33 bilion nilai pelaburan ke Sabah di samping rekod tertinggi dalam kutipan hasil negeri yang mencecah sehingga RM7 bilion.

Hajiji juga membayangkan bahawa Belanjawan Sabah 2024 akan turut bersifat merakyat kerana itulah yang diperjuangkannya sejak mengambil alih teraju pemerintahan negeri tiga tahun lalu.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular