Putatan : Sebanyak empat pakej kerja projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah yang sudah dimulakan sebelum ini dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 16 pakej kerja projek LPB Sabah.
Antara pakej yang sudah dimulakan ialah Pakej Kerja (WP) lima di Papar, WP 15 di Tawau, WP 27 di Sandakan dan WP 21 di Lahad Datu Bypass.
“Bagi WP 21, ianya dijadual siap pada akhir tahun ini, manakala tiga pakej lain sudah siap dan dapat digunakan sepenuhnya oleh pengguna jalan raya ketika ini.
“Setakat ini hanya 15 pakej projek Lebuhraya Pan Broneo Sabah yang sudah dimulakan dengan tiga daripadanya sudah siap iaitu di Papar, Tawau dan Batu 32 Sandakan – Kinabatangan, manakala satu lagi iaitu Lahad Datu Bypass dijangka siap akhir tahun ini.
“Baki pakej kerja yang sedang dilaksanakan ketika ini ada yang dijangka siap pada akhir 2025 dan ada juga yang dijangka siap pada 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan program Hari Sukan Negara peringkat Pantai Barat Sabah, di sini, hari ini.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelaksanaan LPB Sabah dalam Belanjawan 2024.
Perdana Menteri semalam mengumumkan proses tender bagi 19 pakej kerja Fasa 1b untuk lebuh raya berkenaan akan diselesaikan bulan depan.
Pakej kerja berkenaan membabitkan jajaran sepanjang 366 kilometer dengan kos sebanyak RM15.7 bilion.
Dalam pada itu, Shahelmey berkata, dokumen tender bagi pelaksanaan 19 pakej itu sudah disediakan, manakala makmal pengurusan nilai juga selesai dilengkapkan.
“Kita menyambut baik pengumuman Perdana Menteri dan berharap 19 pakej itu dapat dilaksanakan. Untuk makluman, semua pakej itu sudah tersedia, dokumen tender juga tersedia dan makmal pengurusan nilai sudah dilengkapkan baru-baru ini,” katanya.
Secara keseluruhan, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah mengandungi sebanyak 35 pakej kerja dalam Fasa Satu, dengan 16 daripadanya iaitu Fasa 1a sudah dimulakan, manakala baki 19 pakej dalam Fasa 1b belum bermula.
Panjang jajaran dalam semua pakej kerja itu dianggarkan 706 kilometer. Berbeza dengan Sarawak, keseluruhan projek LPB di negeri jiran itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan.